Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 20 September. - Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa bermula 1 September 2026, pukul 2.00 petang, laporan kualiti udara di Negara Brunei Darussalam (NBD) telah dipertingkatkan dengan mengambil kira bahan partikulat PM2.5 ke dalam laporan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan PM2.5 sebagai bahan partikulat halus dan mempunyai ukuran diameter kurang daripada 2.5 mikrometer (μ m). PM2.5 boleh memasuki jauh ke dalam paru-paru dan aliran darah, dan boleh menyebabkan kesan buruk kepada sistem kardiovaskular (jantung) dan pernafasan.
Jabatan akan terus memantau kualiti udara di NBD dan memberikan maklumat terkini mengenai IPU sebanyak lima kali sehari, iaitu pada pukul 7.00 pagi, 9.00 pagi, 11.00 pagi, 2.00 petang dan 4.00 petang sepanjang tempoh jerebu.
Bacaan IPU pada pukul 2.00 petang hari ini, kualiti udara adalah dicatatkan sederhana bagi seluruh daerah iaitu iaitu Daerah Brunei dan Muara, dengan bacaan IPU 88; Daerah Belait, dengan bacaan IPU 77; Daerah Temburong, dengan bacaan IPU 85; dan Daerah Tutong, dengan bacaan IPU 92.
Manakala bacaan IPU pada pukul 4.00 petang, Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait masing-masing mencatatkan kualiti udara Tidak Sihat dengan bacaan IPU 107; sementara Daerah Temburong, kualiti udara adalah Sederhana dengan bacaan IPU 85; dan Daerah Tutong, kualiti udara adalah Sederhana dengan bacaan IPU 88.
Bacaan IPU kurang daripada 50 adalah bagi keadaan kualiti udara Baik. Manakala bacaan IPU di antara 51 dan 100 adalah Sederhana. Sementara bacaan IPU di antara 101 dan 200 adalah Tidak Sihat. Manakala bacaan antara IPU 201 dan 300 adalah Sangat Tidak Sihat. Sementara bacaan IPU lebih daripada 300 adalah Merbahaya.
Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai bahawa apabila bacaan IPU mencapai tahap Tidak Sihat (dari 101 ke 200), orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti fizikal yang berat atau berpanjangan di luar rumah dan mengurangkan pendedahan yang tidak diperlukan kepada jerebu.
Kanak-kanak, wanita mengandung dan warga emas adalah dinasihatkan untuk mengehadkan aktiviti fizikal yang berat atau berpanjangan di luar rumah, manakala orang-orang yang menghidap penyakit jantung atau penyakit paru-paru dinasihatkan untuk menghindarkan aktiviti fizikal yang berat atau berpanjangan di luar rumah.
Mereka yang mengalami gejala yang berterusan atau semakin teruk seperti batuk, sesak nafas, sakit dada atau kesukaran bernafas adalah dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di klinik-klinik atau pusat-pusat kesihatan yang berdekatan.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk merujuk kepada nasihat kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan panduan yang lebih lanjut.
Orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian kecemasan 995 sekiranya berlaku sebarang kejadian kebakaran hutan atau rumput.
Dalam masa yang sama, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau apa-apa aktiviti lain yang boleh memburukkan keadaan, terutamanya semasa musim kering.
Orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123 bagi sebarang aduan mengenai pembakaran terbuka dan untuk mendapatkan sebarang maklumat dan nasihat kesihatan.
Maklumat lanjut mengenai bacaan IPU boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.env.gov.bn dan Instagram @jastre.bn, manakala maklumat dan nasihat kesihatan boleh diperoleh di laman sesawang www.moh.gov.bn atau Instagram rasmi Kementerian Kesihatan.