Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Hal Ehwal Masjid
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 28 Julai. - Mahrajan sempena memperingati ulang tahun ke-68 Masjid Omar ‘Ali Saifuddien diteruskan pada hari kedua dengan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat, sekali gus mengukuhkan peranan masjid sebagai pusat ibadah, dakwah dan kemasyarakatan.
Antara pengisian yang diadakan ialah lawatan ke masjid, pameran, aktiviti di dalam masjid, kempen derma darah dengan kerjasama agensi berkaitan serta ‘pop-up store’ yang menawarkan pelbagai produk dan jualan daripada usahawan tempatan.
Kempen derma darah yang dianjurkan berjaya mengumpulkan sebanyak 52 pain darah bagi membantu menampung keperluan semasa dan memastikan bekalan darah negara berada pada tahap yang mencukupi.
Penganjuran Mahrajan ini bertujuan mengeratkan hubungan antara masjid dengan masyarakat, memupuk semangat kebersamaan serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mengimarahkan masjid melalui penyertaan dalam pelbagai aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan kebajikan.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Masjid Omar ’Ali Saifuddien dalam memperkasa syiar Islam serta memperkukuh perpaduan masyarakat, di samping memeriahkan sambutan Mahrajan yang berlangsung selaras dengan tema ‘Memelihara Ummah, Menyemarakkan Syiar, Mengukuhkan Ummah’.