Majlis Khatam Al-Quran raikan murid Sekolah Ugama Sultan Sharif Ali

29 Jul 2026 - 6:22am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 28 Julai. - Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran yang beriman, beramal dan bertakwa, sekolah-sekolah ugama di negara ini terus mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sebagai wadah bagi meraikan murid-murid Darjah VI yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.

Majlis seumpamanya merupakan antara usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuhkan penghayatan ugama dalam kalangan murid serta mengembangkan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, pada petang tadi Sekolah Ugama Sultan Sharif Ali telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Murid-murid Darjah VI yang diadakan di Dewan Serbaguna, Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali bagi meraikan seramai 50 orang murid yang terdiri daripada 26 murid lelaki dan 24 murid perempuan.

Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Ketua Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Azman bin Haji Jaya, yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.

Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti bacaan Takhtim, Doa Khatam, persembahan dikir serta penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu khas majlis sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.