Oleh : Marlinawaty HussinFoto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
GADONG, Khamis, 19 November. - Seramai 10 orang graduan penerima Biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) peringkat Ijazah Sarjana Muda yang berjaya menamatkan pengajian pada tahun ini diraikan dalam Majlis Penghargaan dan Doa Kesyukuran yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Turut hadir, Setiausaha Tetap KHEU, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Arman bin Haji Asmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar serta Pegawai-pegawai Kanan KHEU.
Atur cara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Mohammad Aimaduddin bin Alias, diikuti dengan penyampaian inti sari ayat oleh Awang Muhamad Haziq Amiruddin bin Mohamad Ali dan Awang Mohammad Syahmi Syamini bin Mohammad Ali.
Ketiga-tiga mereka merupakan sebahagian daripada graduan yang diraikan dalam majlis berkenaan.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, selaku Pengerusi Majlis diikuti dengan ucapan daripada Dayang Fatin Nadhirah binti Shari yang mewakili para graduan.
Acara kemuncak majlis menyaksikan penyampaian sijil dan hadiah penghargaan kepada para graduan yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran.
Penganjuran majlis ini merupakan salah satu inisiatif dalam mendukung Rancangan Strategik KHEU 2025 - 2029, selaras dengan Matlamat Pertama Wawasan Brunei 2035, iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Majlis diadakan sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas kejayaan para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi, sama ada di dalam mahupun di luar negara.