Malam Variasi Muzik Liveband mewarnai Pentas Perayaan Tutong

28 Jul 2026 - 6:05am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

TUTONG, Isnin, 27 Julai. - Malam Variasi Muzik Liveband yang berlangsung malam tadi menyerikan lagi Pentas Perayaan Daerah Tutong bersempena dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Penghulu Mukim Kiudang, Awang Haji Hirulizam @ Khairulizam bin Haji Jefrey.

Acara yang dianjurkan oleh Mission X Band berkenaan diisikan dengan persembahan nyanyian yang dikumandangkan bagi menghiburkan para pengunjung yang hadir di Pentas Perayaan kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 2025, Mission X Band terdiri daripada lima pemain muzik dan dua penyanyi mendendangkan lagu-lagu yang cukup menghiburkan antaranya 'Kelahiran Putera', 'Joget Pantai Seri Kenangan', 'Dia', 'Sehati dan Sejiwa', 'Jika Cinta Dia', 'Drama' dan banyak lagi.

Acara pada malam tadi juga dimeriahkan dengan segment kuiz bagi para pengunjung yang hadir dengan turut menawarkan beberapa hadiah yang menarik.

Penganjuran persembahan seumpama berkenaan adalah bertujuan bagi menyemarakkan lagi kemeriahan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta memeriahkan lagi suasana Pentas Perayaan di Daerah Tutong.

Pentas Perayaan Daerah Tutong akan terus menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan bercorak kebudayaan, hiburan, keagamaan dan beberapa aktiviti kemasyarakatan sepanjang tempoh sambutan.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan persembahan Pentas Perayaan pada setiap malam diadakan sehingga 8 Ogos 2026 depan bagi sama-sama memeriahkan lagi Pentas Perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.