Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Khamis, 26 November. - Pusat Da’wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Penyebaran Da’wah (Ceramah), pagi tadi mengadakan Majlis Apresiasi Program Pemantapan Da’ie: Memperkasa Da’wah Digital 1448 Hijrah / 2026 Masihi, bertempat di Dewan Serbaguna, PDI, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar.
Juga hadir ialah Pemangku Penolong Pengarah PDI, Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut serta pegawai-pegawai kanan, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua urus setia, Ketua-ketua Cawangan Da’wah Daerah, para peserta program, fasilitator, penolong fasilitator dan ahli-ahli jawatankuasa.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan, yang mewakili Pemangku Pengarah PDI.
Pengiran Norhayati dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa perkembangan teknologi digital dan media sosial telah mengubah cara masyarakat, khususnya generasi muda, mendapatkan dan menerima maklumat.
"Platform seperti Instagram, TikTok dan YouTube bukan sahaja menjadi ruang hiburan, malah berpotensi besar untuk dimanfaatkan sebagai medium penyebaran ilmu dan mesej Islam secara kreatif, interaktif dan berkesan.
"Sehubungan itu, pendekatan dakwah perlu mengambil kira keadaan dan keperluan masyarakat serta memanfaatkan medium yang dekat dengan mereka," tambahnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Program Pemantapan Da’ie : Memperkasa Da’wah Digital yang diadakan pada 26 hingga 28 Oktober 2026 di Dewan Mau’izhah, Bangunan Darul Huda, PDI, KHEU berkenaan telah disertai oleh seramai 30 orang da’ie, terdiri daripada 17 orang peserta lelaki dan 13 orang peserta perempuan.
Tambahnya, fasilitator bagi program tersebut ialah Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, KHEU, Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian.
Sepanjang tiga hari program, beliau menerangkan bahawa para peserta didedahkan kepada ilmu dan kemahiran dalam merancang, menghasilkan dan menyampaikan kandungan dakwah digital dan seterusnya menghasilkan video dakwah sendiri.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa majlis apresiasi berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap komitmen, prestasi dan kreativiti yang ditunjukkan oleh para peserta.
Acara diteruskan dengan ucapan daripada wakil peserta program, diikuti dengan tayangan video Montaj Program Pemantapan Da’ie: Memperkasa Da’wah Digital.
Sejurus selepas itu, penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta, sijil penghargaan kepada para hakim, fasilitator dan penolong fasilitator, disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Anugerah turut disampaikan kepada para pemenang bagi Kategori Video Da’wah Terbaik, Anugerah Insentif Mesej Da’wah, Anugerah Insentif Penyampaian Berkesan dan Anugerah Insentif Video Terbaik.
Bagi Kategori Video Da’wah Terbaik, johan disandang oleh Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang, diikuti dengan Dayangku Nabilah Busyra binti Pengiran Abdul Razak menduduki tempat kedua dan Dayang Siti Syuhaidah binti Haji Mohd. Yusoff di tempat ketiga.
Sementara Anugerah Insentif Mesej Da'wah dimenangi oleh Awang Abdul Khaliq bin Kamree; Anugerah Insentif Penyampaian Berkesan dimenangi oleh Awang Haji Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi; dan Anugerah Insentif Video Terbaik dimenangi oleh Dayang Zatul Adliah binti Haji Zaini
Majlis diakhiri dengan bacaan Surah Al-‘Asr dan Tasbih Kaffarah.
PDI, KHEU berharap agar usaha ini menjadi pemangkin kepada kesinambungan penyebaran dakwah yang lebih dinamik, relevan dan berimpak tinggi, selaras dengan perkembangan teknologi masa kini, sekali gus memperluas jangkauan mesej dakwah Islam dan menyumbang kepada pemartabatan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.