Manfaatkan penggunaan AI, pendigitalan dengan bertanggungjawab

30 Okt 2026 - 6:55am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Muhammad Asri Awang Haji Abas

 

BERAKAS, Khamis, 29 Oktober. - Inovasi membantu meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan proses manual, menjimatkan masa serta mengoptimumkan penggunaan sumber.

Apa yang lebih penting, ia membuktikan bahawa penggunaan AI secara betul dan strategik mampu merapatkan jurang digital serta menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat berpanjangan kepada organisasi.

Perkara itu dijelaskan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat I, Awang Muhammad Arif Firdaus Az-Zakirin bin Dato Paduka Awang Othman selaku Ketua Kumpulan ‘Integr8’ dari Bahagian Teknologi Maklumat, Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang menerima anugerah emas bagi Anugerah Inovasi Perdana (AIP).

Menerusi projek bertajuk ‘Bantuan Kecerdasan Buatan (AI) Pemangkin Transformasi Digital’, beliau menjelaskan bahawa idea tersebut tercetus daripada keperluan untuk menambah baik kecekapan kerja dan mereka melihat AI sebagai satu peluang untuk menutup jurang keupayaan teknologi dan sumber, seterusnya menghasilkan solusi digital yang lebih cekap, kos efektif dan mampan.

Walaupun begitu, mereka juga menghadapi cabaran terbesar untuk menghasilkan solusi digital yang berkesan dengan memanfaatkan sumber dan kepakaran sedia ada. Namun, melalui semangat kerjasama, kesediaan untuk belajar serta keberanian meneroka teknologi baharu seperti AI, mereka katanya, berjaya menjadikan cabaran tersebut sebagai peluang untuk berinovasi.

“Alhamdulillah, sudah tentu kumpulan kami amat bersyukur dan berbesar hati. Kemenangan kali kedua ini bukan sekadar satu pengiktirafan tetapi membuktikan bahawa inovasi bukanlah usaha sekali sahaja, sebaliknya satu budaya penambahbaikan yang berterusan. Kejayaan ini merupakan hasil usaha dan komitmen seluruh pasukan serta dokongan dari pihak pengurusan Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

“Kami berhasrat untuk terus memperluaskan penggunaan AI dengan betul dan bertanggungjawab serta meningkatkan integrasi antara sistem serta meneroka lebih banyak peluang automasi pintar. Matlamat kami bukan sekadar membangunkan sistem digital, tetapi menjadikan AI sebagai pemangkin kepada transformasi digital organisasi yang lebih cekap, mampan dan lestari,” ujarnya semasa ditemu bual pada Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-33, Tahun 2026 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Begitu juga dengan Kumpulan ‘TIMS Titans’ dari Unit Statistik, Bahagian Dasar, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri yang menerima anugerah perak, Dayangku Hajah Amanina Syazwani binti Pengiran Haji Aliudin selaku Ketua Kumpulan berkata, idea projek ‘TIMS: Tourism Information Management Systems’ tercetus apabila beliau mula menyertai Jabatan Kemajuan Pelancongan dan mendapati banyak masa pegawai dan kakitangan digunakan untuk mengumpul, membersihkan dan menyelaraskan data daripada pelbagai sumber.

“Saya mula berfikir, bagaimana kita boleh memudahkan proses ini supaya masa yang ada dapat digunakan dengan lebih produktif, bukan sekadar mengumpul data, tetapi untuk memahami, menganalisis dan menggunakan data tersebut bagi membantu membuat keputusan yang lebih tepat. Alhamdulillah, idea ini mendapat sokongan daripada pihak pengurusan, rakan sepasukan dan pelbagai agensi yang turut melihat manfaat inovasi ini. Daripada idea yang sederhana, ia akhirnya berkembang menjadi sistem TIMS yang dapat kita gunakan pada hari ini,” katanya.

Beliau mengongsikan, antara cabaran terbesar mereka ialah mendapatkan kerjasama dan persetujuan daripada pelbagai agensi kerana data pelancongan bukan hanya berada di bawah satu jabatan. Setiap agensi mempunyai sistem, prosedur dan keutamaan masing-masing. Oleh itu, mereka perlu sentiasa berkomunikasi, mengadakan perbincangan dan menjelaskan bagaimana integrasi data ini dapat memberi manfaat bersama. Apa yang penting, mereka tidak melihatnya sebagai projek satu jabatan sahaja, tetapi sebagai usaha bersama untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan. Alhamdulillah, melalui kerjasama dan sokongan semua pihak, cabaran tersebut dapat ditangani secara berperingkat.

Seterusnya, kesan terbesar TIMS pula terangnya, iaitu dengan perubahan cara mereka bekerja, daripada proses pengumpulan data secara manual kepada sistem yang lebih bersepadu dan efisien. Dengan TIMS, mereka dapat mengurangkan kerja berulang, menjimatkan masa dan mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja. Yang lebih penting, data dapat digunakan untuk memahami trend pelancongan, merancang strategi dengan lebih berkesan serta membantu memastikan sumber dan peruntukan disalurkan kepada keutamaan yang tepat. Secara tidak langsung, ini juga membantu jabatan memberikan perkhidmatan yang lebih responsif kepada keperluan industri pelancongan.

“InsyaaAllah, bagi fasa kedua, kami merancang untuk memperluaskan penggunaan TIMS dengan melibatkan agensi pelancongan serta lebih banyak premis penginapan pelancong. Dengan adanya geran inovasi ini, kami juga berharap dapat meneroka penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan atau AI, contohnya AI ‘chatbot’, bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat dan memahami data dengan lebih cepat. Matlamat kami adalah supaya TIMS terus berkembang, bukan sekadar menjadi tempat penyimpanan data, tetapi sebagai satu sistem yang benar-benar membantu dalam analisis, perancangan dan pembuatan keputusan berasaskan data,” tambahnya lagi.

Menurut Ketua Jurutera, Unit Kejuruteraan Udara, Bahagian Pemeliharaan Kelengkapan Teknikal, Jabatan Pentadbiran dan Tenaga Manusia, Kementerian Pertahanan, Awang Haji Kamaludin bin Haji Apong yang mengetuai Ketua Kumpulan ‘AEU TEMD TEAM’ yang dianugerahkan gangsa menjelaskan, HRPulse membantu menjadikan pengurusan sumber manusia lebih teratur melalui penyelarasan maklumat dan pemantauan urusan kakitangan secara digital.

Menurutnya, ia juga membantu mengurangkan kebergantungan pada dokumen bercetak serta memudahkan penyediaan maklumat bagi menyokong perancangan dan pertimbangan pihak pengurusan.

Selain itu, HRPulse tambah beliau, dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman tanpa memerlukan kos pembangunan aplikasi daripada pihak luar. Ini menunjukkan bahawa sumber dan kepakaran sedia ada boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan penyelesaian digital yang praktikal, berkesan dan bersesuaian dengan keperluan organisasi.

Oleh itu, projek ‘Aplikasi HRPulse (Human Resource Management System)’ katanya, tercetus daripada keperluan untuk memperkemas pengurusan sumber manusia yang sebelum ini banyak bergantung pada proses manual dan dokumen bercetak, khususnya bagi urusan penilaian prestasi, pembaharuan kontrak, kenaikan pangkat serta kursus dan latihan.

Katanya, cabaran utama mereka adalah dalam memastikan sistem memenuhi keperluan sebenar pengurusan sumber manusia, di samping membantu kakitangan menyesuaikan diri dengan peralihan daripada kaedah manual kepada kaedah digital.

“Bagi mengatasinya, kami melaksanakan pengujian sistem, membuat penambahbaikan berdasarkan maklum balas pengguna serta menggalakkan kerjasama antara pembangun, pihak pengurusan dan pengguna.

“Pengalaman ini membuktikan bahawa kejayaan inovasi bukan hanya bergantung pada teknologi, tetapi juga pada penerimaan pengguna dan kesediaan warga kerja untuk berubah,” ujarnya.

Dalam pada itu, kumpulan mereka katanya, merancang untuk memperluas penggunaan HRPulse kepada unit-unit lain di bawah Bahagian Pemeliharaan Kelengkapan Teknikal (BPKT), tertakluk kepada kesesuaian keperluan dan proses kerja masing-masing.

Selain, mereka juga berhasrat untuk menambah baik fungsi statistik dan analitik melalui papan pemuka (‘dashboard’), di samping memperkukuh aspek keselamatan maklumat dan penyelenggaraan sistem.

Dalam masa yang sama, pembangunan modal insan ujarnya, akan terus diberikan keutamaan melalui latihan, peningkatan kemahiran digital dan pemindahan pengetahuan bagi memperkukuh kepakaran dalaman. Dengan usaha ini, HRPulse diharapkan dapat berkembang secara mampan dan menjadi salah satu pemangkin transformasi digital Kementerian Pertahanan.

Tegasnya, HRPulse bukan sekadar aplikasi pengurusan sumber manusia, tetapi merupakan satu usaha ke arah pembudayaan kerja digital, peningkatan kecekapan perkhidmatan dan pembangunan modal insan.

Mereka turut berharap inovasi tersebut dapat terus dikembangkan bagi menyokong aspirasi Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya, serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan melalui inovasi dan transformasi digital.