Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Mohd. Zul Izzi Haji Duraman
GADONG, Isnin, 19 Oktober. - Memperkukuh daya saing Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui pendigitalan, amalan perniagaan mampan dan peluasan akses pasaran menjadi antara keutamaan kerjasama serantau ASEAN, selaras dengan usaha membina ekosistem perniagaan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berdaya saing.
Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam (NBD) menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Serantau ASEAN mengenai PMKS Ke-22 (ACCMSME) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan yang berlangsung pada 19 hingga 23 Oktober 2026 di The Rizqun International Hotel, Gadong.
Mesyuarat berkenaan dianjurkan bersama oleh Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) serta Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), dengan menghimpunkan pegawai dan wakil negara-negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN, rakan dialog serta organisasi rakan kerjasama.
Mesyuarat ACCMSME Ke-22 diadakan pada tahun pertama pelaksanaan pusingan strategik lima tahun baharu ASEAN bagi kerjasama serantau dalam pembangunan PMKS.
Antara perkara yang dibincangkan ialah kemajuan pelaksanaan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026-2030 dan Pelan Tindakan Strategik bagi Pembangunan PMKS 2026-2030.
Agenda mesyuarat turut merangkumi inisiatif Pusat Kecemerlangan ASEAN bagi PMKS, Pusat Kecemerlangan ASEAN bagi PMKS dalam Peralihan Hijau serta pembangunan Nombor Pengenalan Perniagaan Unik. Perbincangan juga meliputi transformasi digital, perniagaan inklusif dan kerjasama dengan rakan luar.
Timbalan Setiausaha Tetap (Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan), KEPI, Awang Haji Mohammad Yusree bin Haji Junaidi, dalam ucapan alu-aluannya semasa Majlis Pembukaan, menekankan bahawa kerjasama serantau perlu membantu PMKS menembusi pasaran baharu, memenuhi keperluan pasaran yang sentiasa berubah serta menghubungkan mereka dengan pembeli dan rakan kongsi dalam rantaian bekalan serantau.
"Seiring dengan perubahan landskap ekonomi serantau dan global, pengukuhan ekosistem PMKS melalui dasar yang berkesan, transformasi digital dan kerjasama serantau adalah amat penting," jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha bersama perlu menghasilkan manfaat yang nyata kepada PMKS serta menyumbang kepada pembentukan ekonomi ASEAN yang lebih bersepadu, inklusif dan mampan.
Menurutnya, pembangunan PMKS kekal sebagai antara komponen penting dalam usaha NBD mempelbagaikan ekonomi negara. Inisiatif ACCMSME turut melengkapi usaha berkenaan, termasuk melalui ASEAN SME Policy Index (ASPI), Projek Enhancing Digital Economy Participation for ASEAN Women MSMEs (IDEAS) dan program AI for MSME Advancement in ASEAN (AIM ASEAN).
Inisiatif-inisiatif tersebut membantu memperkukuh rangka kerja dasar, menggalakkan pertumbuhan inklusif dan memajukan transformasi digital, termasuk meningkatkan kemahiran hampir 800 perniagaan tempatan bagi menghadapi persekitaran ekonomi yang semakin dinamik.
Sementara itu, Pengerusi ACCMSME merangkap Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pembangunan Perusahaan Swasta dan Koperasi, Kementerian Kewangan Republik Sosialis Viet Nam, Trinh Thi Huong, berkata inisiatif serantau perlu mengambil kira keperluan PMKS yang pelbagai, khususnya perusahaan yang menghadapi cabaran lebih besar dalam pendigitalan, akses pasaran dan pertumbuhan mampan.
"Matlamat kita adalah untuk memastikan PMKS ASEAN bukan sekadar mengambil bahagian dalam transformasi ekonomi rantau ini, tetapi turut menjadi pemacu aktif inovasi digital, pertumbuhan hijau dan pembangunan inklusif," jelasnya.
Beliau menambah bahawa kerjasama serantau yang lebih kukuh serta inisiatif yang praktikal dan berorientasikan hasil akan membantu PMKS meningkatkan daya saing, daya tahan dan hubungan dengan peluang perniagaan di seluruh ASEAN dan luar rantau ini.
ACCMSME bersidang dua kali setahun sebagai badan penyelaras ASEAN bagi kerjasama serantau berkaitan PMKS. Platform tersebut membolehkan negara-negara anggota memperkukuh penyelarasan dasar, bertukar pengalaman dan menterjemahkan keutamaan bersama kepada inisiatif yang praktikal.
Berpandukan pelan tindakan strategik ASEAN bagi pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana serta rangka kerja penggantinya, ACCMSME berusaha mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan PMKS berkembang, bersaing dan mengambil bahagian secara lebih berkesan dalam pasaran serantau serta global.
Tiga mesyuarat berkaitan turut diadakan sepanjang minggu berkenaan, iaitu Mesyuarat Kumpulan Kerja Peningkatan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea (AKFTA) mengenai PMKS Ke-3, Konsultasi Bersama ACCMSME dan Agensi PMKS Jepun Ke-37 serta Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek IDEAS Ke-5.
Penganjuran mesyuarat -mesyuarat berkenaan mencerminkan komitmen NBD untuk terus bekerjasama rapat dengan negara-negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan rakan serantau dalam memajukan agenda pembangunan PMKS serta menyokong pembentukan ekonomi ASEAN yang lebih bersepadu, inklusif dan berdaya tahan.