Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 4 September. - Negara Brunei Darussalam (NBD) tidak terkecuali daripada merasai kesan keadaan jerebu yang melanda sejak kebelakangan ini, di samping berdepan dengan cabaran perubahan iklim dan pemanasan global yang semakin ketara.
Dalam menghadapi keadaan tersebut, umat Islam di negara ini terus mengutamakan usaha dengan memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar dikurniakan hujan, di samping memohon keselamatan, kesejahteraan dan perlindungan bagi seluruh rakyat dan penduduk serta bumi NBD.
Sehubungan itu, Doa Memohon Dikurniakan Hujan Disebabkan Dilanda Jerebu dibacakan di masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara sebelum menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat. Selain itu, doa berkenaan turut diamalkan selepas menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib setiap hari.
Inti pati doa yang dipanjatkan antaranya “Allahumma Ya Allah, ya Tuhan kami, tiada Tuhan yang patut disembah melainkan Engkau sahaja. Kepada-Mu jua kami bertawakal dan Engkaulah Tuhan bagi singgahsana yang agung. Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan hanya dengan Engkau, Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.
“Ya Allah, jadikanlah hujan itu rahmat, bukan azab, bukan kemusnahan, bukan bala, bukan kehancuran, dan bukan kebanjiran. Ya Allah, turunkanlah hujan ke atas bukit, kawasan berpasir, kawasan tumbuh-tumbuhan dan kawasan lembah. Ya Allah, turunkanlah hujan di sekeliling kami, bukan di atas kami.
“Ya Allah, turunkanlah hujan yang menyelamatkan kami daripada kepahitan, hujan yang memakmurkan dan menyuburkan, serta hujan yang sentiasa mendatangkan manfaat sehingga Hari Kiamat.
“Ya Allah, siramilah kami dengan hujan dan janganlah Engkau jadikan kami daripada golongan yang berputus asa. Allahumma Ya Mujib Doa' issailin, wahai tuhan yang penyebab semua sebab, wahai tuhan yang memberi harapan pada sesiapa yang memohon, Ya Allah! Bantulah kami dengan menurunkan hujan, Ya Allah bantulah kami dengan menurunkan hujan, Ya Allah bantulah kami dengan menurunkan hujan.
“Mohon peliharakan bumi NBD daripada segala malapetaka dan bencana. Lindungilah ia daripada segala bentuk fitnah dan gangguan oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab, daripada fenomena kemarau dan jerebu, angin kencang atau taufan, hujan lebat yang membawa banjir besar, gempa bumi dan lain-lain.
“Ya Allah, selisihkanlah segala bencana daripada menimpa negara kami, sama ada ia berlaku di darat, di laut atau di udara, dengan berkat doa yang diajarkan oleh Nabi dan Rasul Tuhan kami yang bermaksud : Wahai bumi, Tuhan kami dan Tuhan kamu adalah Allah. Kami berlindung dengan Allah daripada kejahatan kamu (wahai bumi), daripada kejahatan yang ada pada kamu, daripada kejahatan yang dijadikan pada kamu, dan daripada kejahatan apa yang berjalan dan bergerak di atas kamu. Kami mohon berlindung dengan Tuhan kami daripada sebarang lembaga jahat, daripada ular dan kala jengking, daripada jin yang diam di muka bumi, serta dari iblis dan para syaitan”.
Amalan doa tersebut juga mencerminkan kebergantungan umat Islam kepada Allah Subhanahu Wata'ala, khususnya ketika berhadapan dengan sesuatu keadaan yang di luar kemampuan manusia, sambil terus berusaha menjaga alam sekitar dan kesejahteraan bersama.
Dalam pada itu, masyarakat turut diseru agar sama-sama memelihara kebersihan alam sekitar, mengelakkan aktiviti yang boleh menyumbang kepada pencemaran udara serta sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga demi kesihatan dan keselamatan masing-masing.
Di NBD, Kementerian Pembangunan menerusi Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), sangat peka dengan mengeluarkan pemakluman kepada orang ramai bahawa bermula 1 September 2026, pukul 2.00 petang, laporan kualiti udara di NBD telah dipertingkatkan dengan mengambil kira bahan partikulat PM2.5 ke dalam laporan Indeks Pencemaran Udara (PSI).
Justeru, JASTRe akan terus memantau kualiti udara di NBD dan memberikan maklumat terkini mengenai PSI sebanyak lima kali sehari pada pukul 7.00 pagi, 9.00 pagi, 11.00 pagi, 2.00 petang dan 4.00 petang sepanjang tempoh jerebu.
Semoga dengan usaha, doa dan tawakal yang berterusan, NBD sentiasa berada di bawah rahmat, perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala serta dikurniakan hujan yang membawa manfaat dan kesejahteraan kepada seluruh bumi dan penghuninya.