Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Rendah Amar Pahlawan
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 7 Oktober. - Sekolah Rendah Amar Pahlawan (SRAP) baru-baru ini telah menganjurkan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, Bacaan Surah Yaa Siin, Ceramah Motivasi dan Sesi Izin Restu Bersama Ibu Bapa atau Penjaga dan Guru Tahun 6 bagi Tahun 2026, sebagai salah satu usaha mempersiapkan murid-murid Tahun 6 daripada aspek kerohanian, mental dan emosi menjelang Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR).
Majlis yang berlangsung dari pukul 7.30 pagi hingga 10.30 pagi berkenaan diadakan di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis/Madang, dan dihadiri oleh murid-murid Tahun 6, ibu bapa atau penjaga serta guru-guru yang terlibat dalam persediaan Peperiksaan PSR 2026.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin yang dipimpin oleh Awang Mohd. Khaizuran Amali bin Haji Kamsani.
Pengisian kerohanian berkenaan bertujuan untuk memohon keberkatan, ketenangan dan dipermudahkan segala urusan murid-murid dalam menghadapi peperiksaan.
Seterusnya, murid-murid dan ibu bapa atau penjaga berkesempatan mengikuti ceramah motivasi yang disampaikan oleh Guru Kaunselor dari Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Dayang Hajah Aslinda binti Haji Aliakbar.
Ceramah berkenaan memberikan dorongan kepada murid-murid agar sentiasa yakin terhadap kebolehan diri, berusaha dengan bersungguh-sungguh serta mengurus emosi dan tekanan dengan baik sepanjang tempoh menghadapi peperiksaan.
Selain itu, para ibu bapa dan guru turut diingatkan mengenai pentingnya memberikan sokongan, galakan dan suasana yang positif kepada anak-anak dalam menghadapi fasa penting dalam pendidikan mereka.
Salah satu pengisian utama majlis ialah Sesi Izin Restu bersama ibu bapa atau penjaga dan guru Tahun 6. Sesi berkenaan memberi ruang kepada murid-murid untuk memohon restu, memohon maaf serta mendapatkan doa daripada ibu bapa atau penjaga dan guru sebelum menduduki peperiksaan.
Sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan sokongan yang diberikan, sijil penghargaan turut disampaikan oleh Guru Besar SRAP, Dayang Saliha binti Haji Tinggal, kepada pihak-pihak yang telah memberikan sumbangan dan kerjasama dalam menjayakan majlis berkenaan.
Pihak sekolah berharap agar program berkenaan dapat memberikan kekuatan rohani, ketenangan fikiran dan keyakinan kepada murid-murid Tahun 6 dalam menghadapi Peperiksaan PSR 2026. Sokongan berterusan daripada ibu bapa atau penjaga, guru-guru dan seluruh warga sekolah diharapkan dapat membantu murid-murid memberikan yang terbaik dalam peperiksaan serta melangkah ke peringkat pendidikan seterusnya dengan penuh keyakinan.