Memperkasa kemahiran profesional demi perkhidmatan berkualiti

27 Nov 2026 - 7:25am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohd. Zul-izzi Haji Duraman

TANAH JAMBU, Khamis, 26 November. – Kedutaan Besar Diraja Thailand di Negara Brunei Darussalam (NBD) hari ini merasmikan Majlis Pembukaan Ujian Standard Kemahiran Kebangsaan bagi Bidang Masakan Thai Tahap 1 dan Tahap 2, bertempat di Pusat Pembangunan Belia (PPB), Tanah Jambu, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Thailand Ke NBD, Tuan Yang Terutama Akrapong Chalemnon.

Tuan Yang Terutama Akrapong Chalemnon dalam ucapan alu-aluannya berkata, masakan Thailand merupakan cerminan indah budaya negara mereka dan ia menggambarkan kehalusan seni serta kearifan masyarakat tempatan Thailand melalui keunikan cita rasa dan kepelbagaian bahan masakan yang digunakan.

Selain itu ujar Tuan Yang Terutama lagi, masakan Thailand turut memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, khususnya dalam menjana pendapatan melalui perniagaan restoran Thailand serta eksport produk makanan ke seluruh dunia.

TYT seterusnya mengongsikan bahawa ujian yang diadakan pada hari ini merupakan manifestasi sebenar dedikasi dan komitmen para tenaga kerja Thailand.

Ia juga mencerminkan kesungguhan mereka untuk terus meningkatkan kemahiran sehingga mencapai tahap profesional, sekali gus membina keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan setiap pelanggan yang menerima perkhidmatan mereka.

TYT dalam ucapannya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan NBD atas kesudian menyediakan tempat serta memberikan sokongan bagi menjayakan acara berkenaan.

Kerjasama ini kata TYT lagi, jelas mencerminkan hubungan erat dan persahabatan yang amat baik antara kedua-dua buah negara.

Ujian Standard Kemahiran Kebangsaan bagi Bidang Masakan Thai Tahap 1 dan Tahap 2 berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 November 2026 ini.

Juga hadir, Penolong Pengarah PPB, Awang Haswandi bin Haji Osman.