Memperkenalkan hasil kreativiti tempatan kepada khalayak antarabangsa

28 Jul 2026 - 6:42am

Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 Julai. -  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Pameran Seni 'The Impressionist Landscape' di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), hari ini.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah dijunjung oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Pameran berkenaan menampilkan 18 seni lukisan oleh pelukis terkenal abad ke-19 yang antara lain termasuk Claude Monet, Paul Signac, Eugene Boudin dan Paul Cezzane. Selaras dengan tema 'The Impressionist Landscape', lukisan-lukisan berkenaan secara kolektif mempamerkan keindahan alam, teknik lukisan dan suasana landskap daripada lensa para pelukis abad berkenaan.

Majlis dimulakan dengan pengurniaan sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Duli Yang Teramat Mulia bersabda bahawa buat kali kedua dalam tempoh hanya beberapa tahun, Negara Brunei Darussalam (NBD) menganjurkan satu pencapaian budaya yang signifikan yang bertaraf antarabangsa, sekali gus menyerlahkan kedudukan negara sebagai sebuah destinasi yang menghargai dan meraikan karya seni bertaraf dunia.

DYTM seterusnya bersabda bahawa dalam era digital masa kini, usaha meraikan lukisan tradisional tidak mengurangkan nilai bentuk kreativiti yang lebih moden. Sebaliknya, kedua-duanya saling melengkapi, sebagaimana dipamerkan menerusi galeri immersive dalam pameran tersebut.

Sebagaimana 'The Impressionist' telah mencabar kelaziman serta memperkenalkan pendekatan dan teknik baharu sabda DYTM lagi, para seniman masa kini turut meneruskan tradisi tersebut. Meskipun alat dan medium berkarya telah berubah, semangat untuk terus berinovasi tidak pernah luntur.

Selain itu, DYTM bersabda turut menzahirkan perkembangan yang memberangsangkan dalam komuniti kreatif NBD yang dapat dilihat melalui penyertaan para Storytellers Brunei dalam pameran berkenaan.

DYTM seterusnya bersabda bahawa pendedahan karya-karya berkenaan kepada khalayak yang lebih luas akan memberikan manfaat yang berkekalan, bukan sahaja dengan memperkenalkan hasil kreativiti tempatan kepada khalayak antarabangsa, malah menjadi sumber inspirasi kepada para seniman tempatan serta menyediakan platform yang bermakna kepada generasi baharu bakat kreatif NBD untuk memulakan perjalanan mereka dalam bidang seni.

Menjelang Tahun Melawat Brunei 2027, DYTM selanjutnya bersabda bahawa pameran seperti berkenaan akan menggalakkan para pengunjung untuk bukan sahaja menikmati keindahan alam semula jadi dan layanan mesra rakyat NBD, malah turut menghayati kekayaan warisan budaya serta landskap kreatif negara.

Mengakhiri sabda, DYTM turut menekankan bahawa kepentingan budaya sebagai medium untuk mengukuhkan hubungan, dengan merujuk, "Culture is one of the ways nations strengthen friendships, foster understanding, and share their stories with one another".

Bersempena dengan pelancaran pameran berkenaan, sebuah Pameran Digital Immersive Experience yang pertama di NBD juga diperkenalkan, dan ia diinspirasikan oleh karya-karya lukisan Impressionist Landscape yang dianimasikan oleh studio animasi anak tempatan, Runa Studios.

Pameran Digital berkenaan menghidupkan karya-karya seni yang dipamerkan, membolehkan para pengunjung menikmati keindahan landskap impressionist melalui gabungan warna, cahaya dan pergerakan yang menawarkan perspektif baharu.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; dan Timbalan Menteri Kewangan, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; berserta jemputan-jemputan khas.

Pameran 'The Impressionist Landscape' akan dibukakan kepada orang ramai bermula 28 Julai 2026 sehingga 31 Julai 2027 bertempat di Ruang Galeri 1 dan 2, BKISHHB. Untuk maklumat lanjut mengenai pameran berkenaan, orang ramai bolehlah melayari media sosial rasmi @impressionistlandscape.