Memperkukuh kerjasama dalam perkhidmatan logistik, operasi terminal

3 Nov 2026 - 7:31am

Siaran Akhbar dan Foto : Brunei Fertilizer Industries Sendirian Berhad

 

SUNGAI LIANG, Isnin, 2 November. - Brunei Fertilizer Industries Sendirian Berhad (BFI) dan Muara Port Company Sendirian Berhad (MPC) sekali lagi mengukuhkan hubungan kerjasama jangka panjang melalui pertukaran perjanjian bagi mempertingkatkan perkhidmatan logistik dan operasi terminal dalam menyokong aktiviti eksport granular urea BFI.

Majlis Pertukaran Perjanjian tersebut telah diadakan di SPARK Centre, Taman Perindustrian Sungai Liang, Daerah Belait, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama antara kedua-dua syarikat yang telah bermula sejak September 2021.

Melalui pelanjutan kerjasama ini, MPC akan meneruskan penyediaan penyelesaian logistik bersepadu dan menyeluruh kepada BFI bagi pengendalian eksport granular urea.

Perkhidmatan tersebut merangkumi pengangkutan darat menggunakan kontena dari kemudahan pengeluaran BFI di Taman Perindustrian Sungai Liang, penyimpanan dan pengendalian kargo di Pelabuhan Muara, serta proses pemuatan ke kapal laut untuk tujuan eksport.

Dalam menyediakan perkhidmatan tersebut, MPC turut bekerjasama dengan syarikat-syarikat pengangkutan dan logistik tempatan.

Kerjasama ini bukan sahaja memperluaskan manfaat ekonomi kepada syarikat-syarikat tempatan, malah turut menyumbang kepada pembangunan keupayaan dan kapasiti sektor logistik negara.

Kerjasama tersebut turut merangkumi penyediaan sokongan operasi oleh MPC melalui tenaga kerja mahir di BFI, iaitu jeti eksport khusus milik BFI yang dihubungkan secara langsung dengan loji pengeluaran BFI di Taman Perindustrian Sungai Liang.

Terminal berkenaan direka bentuk untuk mengendalikan kapal pengangkut pukal bersaiz kecil dengan kapasiti sehingga 9,000 tan berat mati (‘deadweight tonnes’ - DWT).

Ia berfungsi sebagai salah satu laluan eksport penting bagi produk BFI, khususnya ke pelabuhan-pelabuhan serantau yang lebih mudah diakses menggunakan kapal bersaiz kecil, sekali gus menawarkan fleksibiliti yang lebih tinggi dari segi akses dan operasi.

Pertukaran perjanjian tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif yang mewakili BFI, Dr. Harri Kiiski dan Ketua Pegawai Eksekutif yang mewakili MPC, Wei Jinfeng.

Kerjasama berterusan ini mencerminkan komitmen kedua-dua syarikat dalam memperkukuh keupayaan logistik Negara Brunei Darussalam (NBD) serta menyokong pembangunan sektor industri hiliran di negara ini.

Eksport BFI ke pasaran antarabangsa, yang sebahagian besarnya dihantar melalui Pelabuhan Muara, perlu memenuhi piawaian ketat yang ditetapkan oleh pelanggan dan pihak berkuasa negara pengimport, khususnya dari segi kualiti, kebersihan dan biosekuriti dengan memastikan pematuhan dikekalkan pada setiap peringkat rantaian logistik, bermula daripada pengangkutan darat dan penyimpanan sehinggalah kepada proses pemuatan ke kapal.

Keadaan ini memerlukan rakan logistik yang mempunyai pemahaman mendalam mengenai keperluan dan piawaian berkenaan.

Pengalaman MPC dalam mengendalikan kargo BFI sejak tahun 2021, berserta kepakaran dalam operasi pelabuhan dan perkhidmatan logistik bersepadu, meletakkannya sebagai rakan strategik yang berupaya menyokong BFI dalam memastikan kelancaran, kecekapan dan pematuhan operasi eksport, di samping meningkatkan hubungan perdagangan dengan pasaran serantau dan antarabangsa.

Sebagai salah sebuah pengeluar industri hiliran utama di NBD, BFI memainkan peranan penting dalam menyokong usaha kepelbagaian ekonomi negara melalui pengeluaran dan eksport granular urea berkualiti tinggi.

Pelanjutan kerjasama bersama MPC ini seterusnya memperkukuh kepentingan kerjasama strategik antara industri tempatan dalam membangunkan ekosistem perindustrian negara yang lebih bersepadu, berdaya saing dan mampan.