Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
BERAKAS, Sabtu, 10 Oktober. - Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kaunseling, selaku Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026 bagi kementerian, pada hari ini telah mengadakan Bacaan Ratib Al-Attas dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026 sebagai sebahagian daripada pengisian sambutan berkenaan.
Bacaan Ratib Al-Attas dan Doa Kesyukuran yang diadakan secara dalam talian telah dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Bahagian Kaunseling, Awang Haji Sammali bin Haji Adam, dengan penyertaan pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan serta tenaga pengajar daripada institusi-institusi pendidikan.
Acara berkenaan diadakan sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental daripada aspek kerohanian.
Bacaan Doa Kesyukuran turut diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026 yang diraikan pada setiap tahun, dengan tema tahun ini ‘Pengalaman Kehidupan Didengar : Suara Yang Benar, Perubahan Yang Nyata’ (Lived Experiences Heard : Real Voices, Real Change)
Tema sambutan bagi tahun ini menekankan kepentingan mendengar kisah dan pengalaman hidup individu yang menghadapi cabaran kesihatan mental, di samping menggalakkan masyarakat untuk lebih berempati, tidak menghukum serta berkomunikasi secara langsung dengan individu yang terkesan, berbanding sekadar bercakap mengenai mereka.
Penglibatan individu yang mempunyai pengalaman hidup sedemikian juga dapat membantu memastikan sokongan yang diberikan lebih berpusatkan individu (person-centered), berorientasikan pemulihan (recovery-oriented), inklusif dan manusiawi.