Memperkukuh, mempelbagaikan program pemulihan, reintegrasi

25 Nov 2026 - 1:27am

Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 November. - Seramai 21 peserta terdiri daripada 13 penghuni penjara dan lapan Rakan Seliaan menerima sijil setelah menamatkan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (Upskilling Program) dalam usaha meningkatkan kemahiran, kebolehpasaran serta peluang pekerjaan mereka.

Program berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Penjara melalui Bahagian Pemulihan dan Reintegrasi dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Perundangan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dayang Hajah Nor Hamidah binti Haji Hamidon yang diadakan di Dewan Silaturahim, Pusat Latihan, Jabatan Penjara, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Penjara, Awang Bahrin bin Mohammad Yassin, pegawai-pegawai kanan BIBD serta pegawai dan fasilitator Megamas Training Company Sendirian Berhad.

Menerusi program berkenaan, seramai 13 penghuni penjara telah mengikuti Kursus Safe Erection and Dismantling of Scaffolds - Part A pada 5 hingga 8 Oktober 2026 di Institusi Penjara Maraburong Fasa I.

Sementara itu, empat Rakan Seliaan turut mengikuti kursus yang sama, manakala empat Rakan Seliaan lainnya mengikuti Kursus Forklift/Telehandler Operator di Pusat Latihan Megamas Training Company Sendirian Berhad.

Program latihan tersebut bertujuan membekalkan para peserta dengan kemahiran teknikal yang relevan dengan sektor pembinaan, perindustrian dan logistik, di samping memberikan pendedahan mengenai pematuhan prosedur keselamatan serta amalan kerja yang berdisiplin.

Kemahiran yang diperoleh dihasratkan dapat meningkatkan keyakinan dan kebolehpasaran para peserta, sekali gus meluaskan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan atau menjana pendapatan.

Melalui kerjasama dengan BIBD dan pihak-pihak berkepentingan, Jabatan Penjara akan terus berusaha memperkukuh serta mempelbagaikan program pemulihan dan reintegrasi bagi membantu penghuni penjara dan Rakan Seliaan membina kehidupan yang lebih berdikari serta kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Selain Program Latihan Teknikal dan Vokasional, Jabatan Penjara turut melaksanakan Program Pendidikan 'O' Level Kohort 2026, Projek Penanaman Padi Hibrid dan Padi Bukit serta Projek Rumah Hijau (Greenhouse) berasaskan Sistem Fertigasi.