Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
PALANGKARAYA, REPUBLIK INDONESIA, Selasa, 24 November. – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) terus memperkukuh peranannya dalam memperkasa perkembangan ilmu Islam di peringkat serantau menerusi penyertaan aktif dalam Konferensi Antarabangsa Islam Borneo Ke-17 (KAIB 17) Tahun 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 24 November 2026 di Kota Palangkaraya, Kalimantan Tengah, Republik Indonesia.
Delegasi KUPU SB diketuai oleh Penolong Ra'es III (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Awang Haji Md. Syahiran bin Haji Md. Sofian, yang telah diberi penghormatan untuk menyampaikan ucap perdana pada persidangan tersebut.
Turut mengiringi delegasi, Pengarah Pusat Antarabangsa dan Perhubungan Awam, KUPU SB, Awang Mohammad Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa, selaku Pegawai Perhubungan, serta dua ahli akademik KUPU SB, iaitu Dr. Awang Haji Noralizam bin Haji Aliakbar; dan Dr. Awang Haji Matussein bin Haji Jumat yang membentangkan kertas kerja ilmiah.
Hadir sama, perwakilan dari Jabatan Mufti Kerajaan dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
KAIB 17 Tahun 2026 telah dirasmikan oleh Yang Terhormat H. Edy Pratowo, S.Sos., M.M., wakil Gubernur Kalimantan Tengah, melalui simbolik pemukulan gong.
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, selaku wakil Menteri Hal Ehwal Ugama, yang seterusnya menyampaikan ucaptama.
Bertemakan 'Transformasi Peradaban dan Kelestarian Ummah dalam Era Teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI)', pelaksanaan KAIB 17 di Palangkaraya, Republik Indonesia melibatkan kerjasama antara Universitas Islam Negeri Palangka Raya, Universiti Teknologi MARA Sarawak (UiTM Sarawak), Universiti Tekonologi MARA Sabah (UiTM Sabah), UNISSA, KUPU SB, Universitas Mulawarman, Samarinda, Universitas Islam Negeri Sultan Aji Muhammad Idris Samarinda (UINSI), Universitas Lambung Mangkurat Banjarmasin (ULM), Universitas Islam Negeri Antasari Banjarmasin, Universitas Tanjungpura Pontianak (UNTAN), dan Institut Agama Islam Negeri Pontianak.
Penyertaan KUPU SB dalam persidangan berkenaan bukan sahaja menjadi platform untuk berkongsi kepakaran dan hasil penyelidikan, malah turut mengukuhkan jaringan kerjasama akademik serantau serta memperluas peluang kolaborasi dalam bidang pendidikan Islam, penyelidikan dan pembangunan ummah di peringkat antarabangsa.