Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 November. - Awang Ahmad Wildan Dhiya'ul Iman bin Awang Yus Kamarulzaman dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SA SHHB) dinobatkan sebagai juara Kategori Bahasa Melayu, manakala Awang Mohammad Malik Zikri bin Awang Mohammad Faiz, juga dari sekolah berkenaan, muncul juara Kategori Bahasa Inggeris pada Pertandingan Jejak Anbiya' : Kisah Para Nabi dan Rasul.
Pertandingan peringkat akhir yang berlangsung di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Jabatan Perdana Menteri, hari ini menyaksikan para finalis mengetengahkan kreativiti, keyakinan serta penghayatan dalam menyampaikan kisah para Nabi dan Rasul melalui pendekatan penceritaan yang menarik.
Awang Ahmad Wildan Dhiya'ul Iman meraih kemenangan bagi Kategori Bahasa Melayu menerusi penyampaian cerita bertajuk 'Nabi Nuh', diikuti oleh Awang Muhammad Umar Muayyad bin Muhammad Zulhilmi dari Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien, Kuala Belait, di tempat kedua dengan cerita 'Nabi Hud dan Keangkuhan Kaum Aad'.
Manakala tempat ketiga bagi kategori berkenaan disandang oleh Awang Ahmad Hanif bin Mohd. Helmy dari SA SHHB melalui cerita 'Nabi Yusof' dan beliau turut meraih anugerah Persembahan Terbaik.
Sementara itu, bagi Kategori Bahasa Inggeris, Awang Mohammad Malik Zikri dari SA SHHB berjaya meraih tempat pertama dengan cerita 'Nabi Sulaiman'.
Tempat kedua dimenangi oleh Shaikh Muhammad 'Ammar bin Mohd. Dzulazmi dari sekolah yang sama menerusi cerita 'Nabi Ayub', manakala tempat ketiga diraih oleh Dayang Izzah Nura binti Awang Muhammad Nurul Hibatullah dari Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit dengan cerita 'The Prophet Who Never Lost Hope'.
Bagi kedua-dua kategori, johan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND300, naib johan BND250 dan tempat ketiga BND200, selain sijil penyertaan, plak tajaan Fadil Al-Rashid Enterprise, cenderahati tajaan Aewon serta baucar tajaan Margherita Pizzeria, Al-Riyada Consulting dan Ideal Sdn. Bhd.
Pemenang Persembahan Terbaik turut menerima hamper tajaan D'Sunlit Sdn. Bhd., manakala para pemenang sagu hati bagi setiap kategori menerima cenderahati tajaan Aewon, baucar tajaan Ideal Sdn. Bhd. dan Samima Sdn. Bhd. serta sijil penyertaan.
Pertandingan berkenaan dianjurkan oleh BKISHHB dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei, Pusat Da'wah Islamiah, Jabatan Pengajian Islam, Jabatan Sekolah-Sekolah, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, dan Dewan Bahasa dan Pustaka, bertujuan memupuk minat generasi muda, khususnya kanak-kanak, untuk mendalami serta menghayati kisah para Nabi dan Rasul, di samping menerapkan nilai-nilai akhlak mulia yang boleh dijadikan teladan dalam kehidupan seharian.
Seramai 10 peserta daripada lima buah sekolah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan, yang bertemakan 'Menelusuri Kisah Para Nabi dan Rasul : Teladan Akhlak Mulia'.
Hadir selaku tetamu kehormat pada peringkat akhir pertandingan ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fadzlin bin Haji Amdan.
Sebelum pengumuman keputasan pertandingan, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengarah BKISHHB, Pengiran Haji Mohammad Jeffrynul Hafli bin Pengiran Haji Ali selaku Pengerusi Bersama.
Semasa menyampaikan ucapan, beliau antara lain menyentuh mengenai peranan pertandingan tersebut sebagai salah satu inisiatif pendidikan dalam menyemai kecintaan generasi muda terhadap kisah para Nabi dan Rasul, menerapkan nilai-nilai murni serta membentuk akhlak mulia.
Di samping itu, pertandingan ini turut berperanan dalam mengembangkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi, kreativiti serta bakat peserta dalam bidang penceritaan.
Seterusnya, Ketua Hakim pertandingan, Pengiran Hajah Mumtazah binti Pengiran Haji Md. Jaafar, dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga terhadap finalis yang telah memperlihatkan kreativiti, keyakinan dan penghayatan dalam menyampaikan kisah para Nabi dan Rasul.
Beliau turut berharap agar pertandingan seumpama ini dapat meningkatkan pengetahuan serta memupuk penghayatan terhadap nilai-nilai murni untuk dijadikan teladan dalam kehidupan seharian.
Penganjuran pertandingan itu diharap akan terus menjadi platform pendidikan dan dakwah yang kreatif serta interaktif dalam menyampaikan ilmu dan penghayatan nilai-nilai Islam kepada generasi muda, selaras dengan peranan BKISHHB sebagai Pusat Warisan Ilmu Islam dalam mengumpul, memelihara, mengkaji dan menyebarluaskan khazanah ilmu Islam kepada masyarakat.