Memperkukuh perlindungan, pengiktirafan, potensi komersial kain tenunan

26 Nov 2026 - 9:06am

Siaran Akhbar dan Foto : Pejabat Peguam Negara

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 November. - Pejabat Peguam Negara, melalui Pejabat Harta Intelek Brunei (BruIPO) dan dengan kerjasama Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) telah mengadakan bengkel bertajuk ‘Memperkukuh Kain Tenunan sebagai Produk Warisan Budaya Negara melalui Penjenamaan dan Harta Intelek’ bertempat di Dewan Kuliah, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Bengkel tersebut telah dirasmikan oleh Peguam Negara dan Pendaftar Tanda Perniagaan, Paten dan Reka Bentuk Perindustrian, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib, yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Kaunselor, Bahagian Asia dan Pasifik, Pertubuhan Harta Intelek Sedunia, WIPO, Seok Min Song.

Dalam menyampaikan ucapan, Yang Berhormat Peguam Negara menekankan kepentingan harta intelek dalam menyokong usaha memelihara dan mempromosikan kain tenunan sebagai sebahagian daripada warisan budaya Negara Brunei Darussalam (NBD).

Yang Berhormat turut menekankan kepentingan untuk meningkatkan para pengguna mengenali kain tenunan tempatan, serta menghargai kehalusan seni pertukangan dan nilai yang tersirat di sebalik setiap penghasilannya, di samping memastikan para penenun dan pengusaha tempatan memperoleh manfaat daripada pengiktirafan tersebut.

Yang Berhormat turut menggariskan kepentingan mengadakan perhubungan secara langsung bersama para penenun dan pengusaha bagi memahami dengan lebih mendalam cabaran yang dihadapi dan memastikan sebarang mekanisme perlindungan dan inisiatif penjenamaan yang dicadangkan dapat dilaksanakan secara praktikal, mudah diakses dan memberikan manfaat kepada pihak-pihak yang berperanan dalam mengekalkan seni tenunan tersebut.

Bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kerjasama antara Pejabat Peguam Negara dengan WIPO, yang disokong oleh Kementerian Harta Intelek Republik Korea melalui Funds-in-Trust of the Republic of Korea (FIT/RoK) IP Work Plan 2026-2027.

Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh perlindungan, pengiktirafan dan potensi komersial kain tenunan sebagai produk warisan budaya negara melalui penggunaan harta intelek, penjenamaan dan pembangunan pasaran secara strategik.

Salah satu fokus utama inisiatif berkenaan adalah untuk meneroka mekanisme perlindungan harta intelek yang bersesuaian, khususnya melalui kemungkinan penggunaan Cap Kolektif (Collective Marks) atau Cap Pensijilan (Certification Marks), bagi memastikan keaslian, kualiti dan identiti kain tenunan terpelihara.

Projek tersebut bertujuan untuk memperkasa para pengusaha seni kraf tempatan, khususnya penenun dan pengusaha, melalui peningkatan pengetahuan mengenai perlindungan harta intelek, penjenamaan serta peluang pengkomersialan.

Sepanjang bengkel tersebut, para peserta telah mengikuti pembentangan dan perbincangan interaktif yang dikendalikan oleh wakil-wakil WIPO dan pakar-pakar antarabangsa, yang merangkumi pelbagai aspek perlindungan harta intelek, strategi penjenamaan, piawaian kualiti dan penentuan kedudukan pasaran bagi produk warisan budaya.

Bengkel tersebut juga menyediakan platform bagi pihak-pihak berkepentingan untuk bertukar-tukar pandangan mengenai usaha memperkukuh identiti, perlindungan dan potensi pengkomersialan kain tenunan.

Bengkel tersebut telah dihadiri oleh kira-kira 100 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi, pengusaha tenunan tempatan, penenun tradisional, pengusaha serta pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan.

Melalui kerjasama ini, Pejabat Peguam Negara menegaskan semula komitmen Pejabat Peguam Negara dalam menggalakkan penggunaan harta intelek secara berkesan sebagai instrumen bagi memelihara warisan budaya NBD, memperkasa para seni kraf dan pengusaha tempatan serta menyokong pembangunan mampan industri tradisional dan kreatif negara.