Siaran Akhbar dan Foto : Bank Islam Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 Julai. - Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) baru-baru ini telah menganjurkan satu Majlis Penghargaan dan Pengiktirafan bagi Kontinjen Sukan BIBD yang menyertai Kejohanan Sukan Antara Bank 2026, yang berlangsung di Jakarta, Republik Indonesia dari 19 hingga 20 Jun 2026.
Kejohanan berkenaan menghimpunkan para profesional daripada institusi kewangan serantau terkemuka, termasuk Bank Syariah Indonesia, CIMB Niaga, Maybank dan BIBD, menerusi pelbagai aktiviti sukan dan jaringan profesional yang direka untuk mengukuhkan hubungan, memupuk kerjasama serta menggalakkan kesejahteraan warga kerja.
Menampilkan pertandingan dalam acara badminton, golf, bola sepak, boling dan pickleball, kejohanan berkenaan bukan sekadar acara sukan semata-mata. Ia turut menyediakan platform yang bernilai kepada para peserta untuk berhubung dengan rakan industri, bertukar pandangan serta membina hubungan yang melangkaui gelanggang pertandingan.
Semasa berucap pada Majlis Penghargaan berkenaan, Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah menegaskan, penglibatan dalam kelab sukan bukan sekadar menyertai perlawanan dan kejohanan.
Sebaliknya jelasnya lagi, ia merupakan peluang kepada para pekerja untuk menyumbang serta menyokong bank dengan cara yang bermakna, di samping menghayati nilai-nilai dan budaya organisasi.
Sukan terus menjadi platform yang berkesan untuk membina hubungan, memperluaskan rangkaian profesional, mempelajari amalan terbaik daripada rakan industri serta meneroka peluang baharu untuk kerjasama.
Melalui semangat persaingan yang sihat dan penglibatan yang bermakna, kejohanan berkenaan memperkukuh kepentingan memupuk hubungan erat dalam kalangan komuniti perbankan serantau.
Interaksi dan hubungan yang terjalin sepanjang kejohanan telah membuka ruang kepada pelbagai peluang yang berpotensi untuk semua institusi yang mengambil bahagian, sekali gus membuktikan bahawa sukan mampu menjadi pemangkin kepada kerjasama dan penciptaan nilai yang melangkaui batasan persekitaran perniagaan tradisional.
BIBD turut mengiktiraf peranan atletnya yang semakin berkembang sebagai duta bank. Melalui profesionalisme, semangat kesukanan dan imej positif yang dipamerkan, ahli kontinjen BIBD membantu memperkukuh kehadiran bank dalam komuniti perbankan serantau sambil mempromosi nilai-nilai BIBD, iaitu kerjasama, kecemerlangan dan integriti.
Majlis Penghargaan berkenaan juga bertujuan mengiktiraf dedikasi, komitmen dan pencapaian kontinjen BIBD, yang penyertaannya mencerminkan komitmen bank terhadap penglibatan pekerja, pembangunan diri serta pembinaan hubungan dalam sektor perkhidmatan kewangan.
Lebih penting lagi, acara berkenaan menyerlahkan bagaimana sukan mampu mencipta nilai yang jauh melangkaui pertandingan itu sendiri. Dengan menghimpunkan individu melalui pengalaman yang dikongsi bersama, sukan memupuk kepercayaan, mengukuhkan kerjasama strategik serta membuka laluan kepada kolaborasi dan peluang perniagaan pada masa hadapan.
Seiring dengan usaha berterusan BIBD untuk melabur dalam inisiatif yang menggalakkan penglibatan bermakna, Kejohanan Sukan Antara Bank menjadi bukti keyakinan bank bahawa hubungan yang kukuh bukan sahaja dibina di tempat kerja, malah diperkukuh melalui semangat berpasukan, persahabatan dan pengalaman yang dikongsi bersama.