Memupuk kesedaran mengenai keselamatan kebakaran

30 Okt 2026 - 6:42am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BERAKAS, Khamis, 29 Oktober. - Bagi memberikan pendedahan dan pengetahuan asas mengenai keselamatan kebakaran, khususnya dalam aspek pencegahan serta tindakan yang perlu diambil ketika menghadapi situasi kecemasan, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan Program Life Saver menerusi Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi Kelas Bimbingan Muslimah diadakan di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Jalan Landasan Lama, Berakas, pagi tadi.

Program yang julung-julung kali diadakan ini merupakan inisiatif Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama JBP, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Seramai 30 peserta yang terdiri daripada ketua-ketua Muslimah, tenaga pembimbing dan para peserta Kelas Bimbingan Muslimah dari masjid-masjid di Zon 4, Daerah Brunei dan Muara telah menyertai taklimat berkenaan. Taklimat tersebut disampaikan oleh pegawai-pegawai daripada JBP.

Antara pengisian program termasuklah penerangan mengenai punca-punca kebakaran, langkah-langkah pencegahan kebakaran di rumah, masjid dan persekitaran, serta kepentingan mengenal pasti laluan kecemasan dan tempat berkumpul yang telah ditetapkan sekiranya berlaku kecemasan.

Program ini turut disertakan dengan demonstrasi penggunaan alat pemadam api bagi memberikan pendedahan secara praktikal kepada para peserta mengenai kaedah penggunaan alat tersebut dengan betul dan selamat.

Melalui pelaksanaan program ini, para peserta diharap akan dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai keselamatan kebakaran, di samping memupuk sikap prihatin dan bertanggungjawab terhadap keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.

Selain itu, para peserta juga diharap dapat menyebarluaskan pengetahuan dan maklumat yang diperoleh kepada ahli keluarga serta masyarakat sekeliling.

Usaha ini diharap dapat membantu meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pencegahan kebakaran dan persediaan menghadapi situasi kecemasan, sekali gus membentuk masyarakat yang lebih peka, bersedia dan berwaspada terhadap risiko kebakaran.