Oleh : Nurdiyanah Rajami
Foto : Nurdiyanah Rajami, Ihsan Universiti Teknologi Brunei
TUNGKU LINK, Sabtu, 25 Julai. - Universiti Teknologi Brunei (UTB) melalui Centre for Transport Research (CfTR), telah menganjurkan Sesi Perkongsian Antarabangsa bertajuk ‘Smart Mobility for Sustainable Cities : International Perspectives on Traffic Management, Transportation Systems and Electric Vehicles’ yang berlangsung di Lecture Theatre 2, Kompleks Perpustakaan UTB, petang, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat yang sekali gus merasmikan acara sesi perkongsian antarabangsa berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Muhammad Fazalley bin Haji Hidup, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah CfTR UTB, Dr. Sheik Mohammed Sulthan.
Turut hadir, Pemangku Naib Canselor UTB, Profesor Madya Pengiran Dr. Mohamad Iskandar bin Pengiran Haji Petra.
Tiga penceramah terkemuka menyertai acara ini secara maya dari seluruh rantau untuk berkongsi kepakaran mereka yang terdiri daripada Penolong Profesor di Kasetsart University dan Naib Presiden Electric Vehicle Association of Thailand (EVAT), Dr. Uthane Supatti; Penolong Profesor di National Institute of Technology Calicut (NITC) India, Dr. Munavar Fairooz dan Pensyarah di Universitas Diponegoro (UNDIP) Semarang, Indonesia dan Ahli Lembaga Persatuan Pengangkutan Indonesia, Ma'ruf T. Purnomo.
Dalam sesi perkongsian berkenaan, Dr. Uthane Supatti membentangkan topik mengenai perkembangan kenderaan elektrik dan infrastruktur pengecasan di Thailand, manakala Dr. Munavar Fairooz membincangkan kawalan trafik pintar dan adaptif dalam persekitaran yang mempunyai kekangan sumber, dengan merujuk kepada satu kajian kes dari India Selatan.
Sementara itu, Ma'ruf T. Purnomo pula berkongsi pandangan mengenai pelaksanaan mobiliti pintar dalam sistem pengangkutan awam bandar di Indonesia.
Sumbangan ketiga-tiga penceramah di acara berkenaan telah memperkayakan perbincangan dan menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam mewujudkan bandar yang lebih pintar dan lebih hijau.
Bagi menambah dimensi praktikal kepada acara tersebut, Berjaya Sdn. Bhd. telah mengadakan demonstrasi secara langsung mengenai ‘Advanced Driver Assistance Systems’ (ADAS) dan ciri-ciri keselamatan kenderaan.
Para hadirin menyaksikan sendiri bagaimana teknologi terkini mampu meningkatkan keselamatan dan kecekapan jalan raya, sekali gus memberikan gambaran nyata tentang masa depan penyelesaian mobiliti.
Acara ini diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-40 UTB. Ia menghimpunkan para peserta yang bersemangat untuk meneroka pendekatan inovatif terhadap pengangkutan mampan, mencerminkan komitmen UTB dalam memajukan penyelidikan dan memupuk dialog bermakna mengenai pembangunan mampan sambil meraikan empat dekad kecemerlangan akademik dan inovasi.
Sesi tersebut diakhiri dengan perbincangan menandakan satu pertukaran idea yang bermakna mengenai usaha membina bandar yang lebih pintar dan hijau melalui kerjasama antarabangsa.