Menggalakkan pendidikan inklusif, berkualiti, memperkukuh integrasi serantau

26 Jul 2026 - 7:43am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan

REPUBLIK SINGAPURA, Sabtu, 25 Julai. - Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN Kali Ke-14 (14th ASED), Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN Plus Three Kali Ke-8 (8th APT EMM) dan Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan East Asia Summit Kali Ke-8 (8th EAS EMM) yang berlangsung pada 22 hingga 23 Julai 2026 di Republik Singapura.

Mesyuarat-mesyuarat tersebut telah dihoskan oleh Kementerian Pendidikan Republik Singapura, selaku Pengerusi Sektor Pendidikan ASEAN bagi tempoh 2026-2027, dengan kerjasama Sekretariat ASEAN, di bawah tema ‘Memperkukuh ASEAN melalui Pendidikan’.

Majlis perasmian telah menghimpunkan Menteri-menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai kanan yang bertanggungjawab dalam bidang pendidikan daripada semua Negara-negara Anggota ASEAN bersama wakil daripada Rakan Dialog ASEAN.

Antara pencapaian utama mesyuarat tersebut ialah pelancaran Pelan Kerja Pendidikan ASEAN 2026-2030, yang menegaskan semula komitmen kolektif ASEAN untuk memperkukuh kerjasama pendidikan serantau, menggalakkan pendidikan yang inklusif dan berkualiti serta memperkukuh integrasi serantau.

Mesyuarat-mesyuarat tersebut menyediakan platform strategik bagi Menteri-menteri Pendidikan untuk bertukar pandangan mengenai keutamaan pendidikan di peringkat nasional, peluang-peluang baharu serta cabaran bersama, di samping menegaskan semula komitmen untuk membangunkan sistem pendidikan yang berdaya tahan, inklusif dan berorientasikan masa hadapan selaras dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

Semasa menyampaikan kenyataan, Yang Berhormat Menteri Pendidikan menegaskan komitmen Negara Brunei Darussalam (NBD) untuk memperkukuh kerjasama pendidikan serantau dan seterusnya mengesahkan Pelan Kerja Pendidikan ASEAN 2026-2030 sebagai satu pencapaian penting dalam memajukan agenda pendidikan bersama ASEAN.

Yang Berhormat turut menggariskan kesediaan NBD untuk mengambil alih Kepengerusian Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN dan menegaskan komitmen negara untuk bekerjasama rapat dengan Negara-negara Anggota ASEAN dan rakan-rakan dialog dalam memajukan agenda pendidikan serantau yang inklusif, berdaya tahan dan berorientasikan masa hadapan.

Sebelum berlangsung mesyuarat di peringkat Menteri, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, telah mewakili NBD ke Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pendidikan ASEAN Kali Ke-21, Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pendidikan ASEAN Plus Three Kali Ke-16 dan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pendidikan East Asia Summit Kali Ke-10, yang telah diadakan pada 20 hingga 21 Julai 2026 di lokasi yang sama.

Semasa Mesyuarat Peringkat Pegawai-pegawai Kanan, Pegawai-pegawai Kanan Pendidikan ASEAN membincangkan keutamaan pendidikan serantau serta pelaksanaan Pelan Kerja ASEAN mengenai Pendidikan 2026-2030.

Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati telah berpeluang untuk mengongsikan mengenai sumbangan NBD terhadap pelaksanaan pelan kerja tersebut menerusi tujuh inisiatif serantau yang memberi tumpuan kepada pendidikan inklusif dan pendidikan awal kanak-kanak, pembelajaran sepanjang hayat, ‘micro-credentials’, mobiliti pendidikan tinggi, penggubalan dasar pendidikan berasaskan bukti, serta perkongsian pengetahuan serantau mengenai penghijauan pendidikan dan kecerdasan buatan dalam pendidikan.

Delegasi Kementerian Pendidikan juga berpeluang mengadakan sesi perbincangan serta lawatan ke Singapore Centre for Character and Citizenship Education (SCCCE) di National Institute of Education (NIE) dan Sekolah Rendah Yu Neng di Singapura. Susulan Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN Ke-14, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati turut mempengerusikan Mesyuarat Komiti Eksekutif SEAMEO 2026.

Mesyuarat tersebut diadakan setiap tahun dengan menghimpunkan Pegawai-pegawai Kanan Komiti Eksekutif SEAMEO untuk meneliti kemajuan inisiatif utama dan projek serantau SEAMEO bagi membincangkan keutamaan strategik, serta mempertimbangkan perkara-perkara berkaitan pelaksanaan tugas Sekretariat SEAMEO dan Pusat-pusat SEAMEO.

Komiti Eksekutif turut meluluskan beberapa cadangan dan saranan untuk dikemukakan semasa Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan SEAMEO Kali Ke-49 yang dijadualkan berlangsung pada bulan November 2026. Turut hadir sepanjang mesyuarat tersebut ialah pegawai-pegawai daripada Kementerian Pendidikan, NBD.