Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 Julai. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Kelab Perpustakaan UNISSA, Nadi Maktabah, baru-baru ini telah menganjurkan Program Membaca Santai, bertempat di Taman Mahkota Jubli Emas, di ibu negara.
Program berkenaan menghimpunkan para pelajar daripada beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Negara Brunei Darussalam (NBD), termasuk UNISSA, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Berkonsepkan pembacaan dalam suasana alami dan tenang, program berkenaan bertujuan menyediakan ruang yang kondusif bagi membantu para peserta meningkatkan fokus, menghayati bahan bacaan serta menikmati pengalaman membaca secara santai.
Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian buku yang memberi peluang kepada para peserta untuk berkongsi pandangan, ulasan dan cadangan bahan bacaan. Aktiviti berkenaan bukan sahaja dapat memupuk minat membaca, malah menggalakkan pertukaran ilmu dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan mahasiswa daripada pelbagai institusi.
Selaras dengan usaha menyokong Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDGs), para peserta turut membawa minuman ‘matcha’ menggunakan botol minuman masing-masing sebagai langkah mengurangkan penggunaan bekas pakai buang.
Program turut diisikan dengan aktiviti kreatif menghasilkan penanda buku daripada bahan terpakai bagi meningkatkan kesedaran terhadap amalan kitar semula dan pemeliharaan alam sekitar.
Penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen UNISSA dalam memperkasa budaya ilmu, membudayakan amalan hijau serta menyediakan platform interaksi yang positif dan bermanfaat kepada para pelajar IPT di NBD.