Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 Julai. - Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak (USJPWKK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) terus giat memperkukuhkan usaha meningkatkan kesedaran orang ramai melalui penglibatan dalam beberapa forum berkaitan perlindungan wanita dan kanak-kanak serta kesejahteraan masyarakat.
Ketua USJPWKK, JSJ, PPDB, DSP Dayangku Norazriani binti Pengiran Haji Anuar dijemput sebagai Ahli Panel Forum Hari Wanita Antarabangsa anjuran Brunei Fertilizer Industries (BFI) bertajuk 'The Narrative We Must Break: Addressing Domestic Violence Against Women in Brunei' pada 23 Julai lalu.
Forum ini membincangkan usaha menangani keganasan rumah tangga terhadap wanita, memperkukuhkan sistem sokongan mangsa, serta prosedur penerimaan laporan dan penyiasatan kes berkaitan.
PPDB turut menekankan kepentingan pendekatan berpusatkan-mangsa (victim-centric) dan kerjasama pelbagai agensi serta peranan keluarga, jiran, majikan dan masyarakat dalam mengenal pasti petanda awal penderaan dan menggalakkan mangsa mendapatkan bantuan.
Pada 25 Julai, DSP Dayangku Norazriani sekali lagi dijemput sebagai Ahli Panel Forum 'Buli dalam Perspektif Perundangan : Tanggungjawab Sosial dan Implikasi Undang-undang' di Sekolah Menengah Masin.
Perbincangan merangkumi ciri-ciri buli termasuk buli siber, implikasi undang-undang terhadap pelaku, prosedur pengurusan laporan yang sistematik serta kepentingan kerjasama antara sekolah, ibu bapa, agensi penguat kuasa dan masyarakat. Ditegaskan bahawa buli bukan sekadar isu disiplin sekolah, malah dalam keadaan tertentu boleh menjadi kesalahan jenayah.
Beliau menyeru semua pihak memainkan peranan dalam mewujudkan persekitaran yang selamat serta menggalakkan mangsa dan saksi tampil membuat laporan tanpa rasa takut.
Penglibatan PPDB dalam kedua-dua forum ini mencerminkan komitmen berterusan pasukan dalam memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan wanita dan kanak-kanak serta mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan sejahtera untuk semua.