Meningkatkan kesedaran, mengurangkan stigma kesihatan mental

30 Okt 2026 - 7:05am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

TUTONG, Khamis,  29 Oktober. - Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB) pagi tadi mengadakan Majlis Mini Pameran Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan pameran berkenaan ialah  Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat I, Hospital PMMPMHAMB, Tutong, Dayang  Hajah Siti Hasrainah binti Haji Mohd. Hassan. Majlis dimulakan dengan perasmian pameran oleh tetamu kehormat dan seterusnya menyaksikan pameran-pameran yang disediakan oleh Unit Psikiatri, Hospital PMMPMHAMB Tutong.

Penganjuran mini pameran ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesihatan mental, mengurangkan stigma dalam komuniti dan membina persekitaran hospital yang menyokong kesejateraan emosi.

Mesej utama yang ingin disampaikan kepada orang ramai melalui pameran ini ialah untuk memaksimumkan penglibatan (engagement) orang ramai melalui tiga pendekatan iaitu Pendidikan Edukatif - Menyebarkan maklumat sahih berkenaan kesihatan mental;  Interaktif digital dan fizikal - Menggalakkan penyertaan aktif berbanding paparan pasif; dan  Advokasi visual - Memberi ruang kepada pelawat untuk menunjukkan sokongan moral secara terbuka.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pegawai-pegawai dan kakitangan Hospital PMMPMHAMB, Tutong.