Meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi keperluan pasaran

30 Okt 2026 - 6:45am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Azmah Haji Ahad

BELAIT, Khamis, 29 Oktober. - Enterprise Growth Connect (EGC) 2026 diteruskan hari ini dengan penganjuran Oil and Gas Opportunities Forum yang diketuai oleh Pihak Berkuasa Petroleum Brunei Darussalam (PA) selaku Rakan Program, dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB).

Program ini merupakan hari kedua EGC 2026 yang bertemakan 'Advancing Capabilities. Unlocking Opportunities' yang diadakan di Pusat Insani, Seria, di sini.

Forum berkenaan menghimpunkan para pengendali, kontraktor, penyedia perkhidmatan dan perniagaan tempatan bagi memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai peluang-peluang yang bakal tersedia dalam sektor huluan dan hiliran minyak dan gas di seluruh Negara Brunei Darussalam (NBD).

Ia juga menyediakan platform yang diterajui oleh pihak industri bagi membolehkan para pengendali berkongsi prospek industri, projek dan aktiviti yang bakal dilaksanakan, bidang permintaan yang dijangka meningkat serta keupayaan yang diperlukan daripada bakal pembekal.

Forum tersebut turut membantu perniagaan tempatan memahami keperluan pasaran dengan lebih baik serta membuat persediaan bagi merebut peluang pada masa hadapan melalui pembangunan keupayaan dan perkongsian strategik.

Dalam ucapan Pengarah Urusan PA, Awang Shamir bin Salahudin menekankan peranan penting sektor minyak dan gas dalam menyokong Wawasan Brunei 2035 dengan mengekalkan sumbangannya kepada negara, memacu perkembangan industri hiliran, mewujudkan peluang berkualiti untuk rakyat NBD serta membangunkan perusahaan tempatan yang berdaya saing.

Pada program sebelah pagi memberikan tumpuan kepada sektor huluan, yang merangkumi pembentangan mengenai prospek peluang serta sesi perbincangan panel bersama para pengendali sektor huluan, manakala pada sebelah petang, program diteruskan dengan pembentangan dan perbincangan mengenai peluang dalam sektor hiliran oleh pelbagai pengendali sedia ada dan yang bakal beroperasi.

Sesi perbincangan panel turut mengupas pertimbangan utama serta kaedah yang boleh diambil oleh para pengendali dan kontraktor yang menyokong pelbagai aktiviti industri untuk meningkatkan daya saing dari segi kos. Pendekatan ini bertujuan membolehkan lebih banyak projek dilaksanakan dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan.

Sementara itu dalam sesi padanan perniagaan turut membuka ruang kepada perniagaan yang mengambil bahagian untuk berinteraksi secara langsung dengan wakil industri, membina rangkaian hubungan serta meneroka potensi kerjasama merentasi keseluruhan rantaian nilai minyak dan gas.

Melalui forum ini, PA berhasrat untuk memperkukuh penglibatan yang bermakna antara para pengendali dengan perniagaan tempatan, meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi keperluan pasaran serta menyokong pembangunan rantaian bekalan tempatan yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan.

Usaha ini menyumbang kepada peningkatan Nilai Dalam Negara (In-Country Value) serta menyokong pembangunan jangka panjang sektor tenaga dan ekonomi NBD.

EGC 2026 telah bermula pada 28 Oktober 2026 di The Empire Brunei, dengan penyertaan sepuluh buah organisasi yang berkongsi maklumat mengenai projek-projek akan datang, perancangan perolehan serta keperluan pembekal dalam pelbagai sektor, termasuk makanan, perkhidmatan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), pelancongan, maritim dan infrastruktur.