Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 November. - Lebih 200 peserta yang terdiri daripada doktor, jururawat dan profesional kesihatan menghadiri Orthopaedic Society Scientific Symposium yang dianjurkan oleh Persatuan Ortopedik Brunei Darussalam bertempat di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud.
Simposium pendidikan yang berlangsung selama sehari tersebut membawa tema bergerak menuju masa depan, merangkumi beberapa sesi perkongsian berkaitan ortopedik yang membincangkan konsep-konsep semasa dan masa depan, yang dibahagikan secara meluas kepada beberapa segmen termasuklah artroplasti anggota bawah, inovasi rawatan serta sesi akademik berorientasikan penyelidikan.
Acara tahun ini menyerlahkan komitmen berterusan presidennya, Dr. Mohammad Abdul Hafidz bin Haji Yakob untuk mengukuhkan piawaian dan kualiti kandungan pendidikannya, yang lazimnya merangkumi bengkel, perkongsian, serta aktiviti pengajaran di peringkat jabatan.
Dua penceramah antarabangsa dari Malaysia yang menyampaikan ceramah dalam bidang kepakaran masing-masing semasa acara berkenaan ialah Dr. Nor Azman, dari Universiti Sains Malaysia (USM), yang menyampaikan ucaptama mengenai penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) untuk memudah cara penyelesaian percetakan 3D dalam kes trauma muskuloskeletal.
Manakala Dr. Fekry Leong, bekas ahli persatuan tersebut yang kini berkhidmat dengan kumpulan ortopedik Sunway, turut mengongsikan pengalaman beliau berkaitan pembedahan penggantian sendi pinggul dan lutut dengan bantuan robotik.
Sekumpulan penceramah tempatan juga turut menyampaikan ceramah mengenai perkembangan terkini dalam rawatan bagi pesakit ortopedik secara amnya, yang ditawarkan di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Dr. Lydia, seorang pegawai perubatan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), memberikan maklumat terkini mengenai pembedahan rekonstruksi ACL manakala, Awang Mohammad Arif Hussin yang merupakan seorang ahli fisioterapi antara lain membincangkan hasil penyelidikannya tentang peranan senaman yang semakin penting dalam pengurusan artritis lutut.
Sementara itu, Dayang Siti Ruzanah yang merupakan pakar podiatri pula membentangkan laporan kes mengenai satu kaedah rawatan baharu bagi masalah kaki akibat diabetes.
Pada masa yang sama dalam satu sesi akademik, seramai tiga pelatih junior dari pelbagai jabatan di Hospital RIPAS turut tampil membentangkan projek penyelidikan masing-masing semasa acara berkenaan.
Persatuan Ortopedik Brunei Darussalam yang ditubuhkan pada tahun 2012 setelah didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan merupakan sebuah persatuan yang dianggotai oleh doktor-doktor ortopedik yang berkhidmat di negara ini.
Misi persatuan ini adalah untuk memupuk dan menyokong peluang pendidikan bagi meningkatkan serta menambah baik pemahaman tentang ortopedik dalam kalangan tenaga kerja penjagaan kesihatan yang lebih luas. Persatuan ini telah diterima menyertai Persatuan Ortopedik Asia (Asian Orthopaedic Association) pada tahun 2013 dan kekal menjadi ahli sejak itu.
Keahlian ini membolehkan persatuan tersebut menjalin hubungan berterusan dengan persatuan-persatuan ortopedik lain di seluruh Asia Tenggara. Persatuan ini juga kerap menerima kunjungan pelawat dari negara-negara berkenaan.