UMS kunjungi SR Kasat, semarakkan Inisiatif Kasat Green Wave

23 Nov 2026 - 5:49am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Ihsan Sekolah Rendah Kasat

KASAT, Ahad, 22 November. - Semangat memelihara kelestarian alam sekitar, menghargai warisan tempatan serta memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti terus dipupuk menerusi lawatan rombongan Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke Sekolah Rendah Kasat, baru-baru ini.

Lawatan yang merupakan anjuran bersama UMS dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kasat itu melibatkan seramai 34 peserta yang diketuai oleh Pensyarah Kanan, Program Hubungan Industri, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS,  Fazli Abd. Hamid.

Ketibaan rombongan disambut oleh Guru Besar Sekolah Rendah Kasat, Dayang Raidah binti Haji Juni, bersama guru-guru dan kakitangan sekolah serta Ketua Kampung Kasat, Awang Haji E'riffin bin Haji Mohd. Yussof, Ahli-ahli Jawatankuasa MPK Kasat dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kasat.

Lawatan tersebut antara lain bertujuan menyokong inisiatif Kasat Green Wave, yang memberi penekanan terhadap pemeliharaan alam sekitar dan pembudayaan amalan hijau dalam kalangan warga sekolah serta komuniti setempat.

Di samping itu, lawatan berkenaan turut memberi peluang kepada rombongan untuk mengenali sejarah dan warisan Kampung Kasat melalui Galeri Warisan Sekolah Rendah Kasat.

Antara pengisian utama lawatan ialah aktiviti penanaman anak pokok buah-buahan dan pokok bunga di kawasan sekitar Galeri Warisan sekolah. Aktiviti tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar, di samping menyumbang kepada usaha mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih hijau, indah dan lestari.

Rombongan seterusnya dibawa melawat Galeri Warisan Sekolah Rendah Kasat bagi mengenali dengan lebih dekat sejarah, perkembangan serta khazanah warisan yang menjadi sebahagian daripada identiti Kampung Kasat.

Lawatan tersebut turut memberi ruang kepada perkongsian maklumat mengenai usaha pihak sekolah dan komuniti setempat dalam memelihara warisan untuk tatapan serta pengetahuan generasi akan datang. Program lawatan diakhiri dengan jamuan ringan dan penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan serta kenang-kenangan kepada rombongan UMS.

Penganjuran lawatan ini bukan sahaja menjadi wadah perkongsian ilmu dan pengalaman, malah turut mempererat hubungan silaturahim serta memperkukuh jalinan kerjasama antara pihak universiti, sekolah dan komuniti Kampung Kasat.

Kerjasama seumpama ini diharap dapat diteruskan melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat bersama, khususnya dalam memperkasakan pendidikan kelestarian alam sekitar, memelihara warisan tempatan serta menyokong pembangunan komuniti yang mampan.