Amalkan gaya hidup sihat menerusi aktiviti riadah

23 Nov 2026 - 6:14am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 November. - Pendidikan ugama bukan sahaja menitikberatkan aspek keilmuan dan kerohanian, malah turut menggalakkan keseimbangan dalam kehidupan yang merangkumi kesihatan jasmani, mental dan sosial.

Seiring dengan Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal di Negara Brunei Darussalam, pelbagai aktiviti telah dianjurkan bagi menyemarakkan lagi sambutan berkenaan. Antaranya termasuk usaha membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Jabatan Pengajian Islam (JPI) serta masyarakat umum.

Sehubungan itu, JPI, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menganjurkan Acara Walkaton sempena Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal yang berlangsung pagi tadi di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KHEU, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad serta pegawai-pegawai kanan KHEU.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa, diikuti sesi pemanasan badan sebelum para peserta memulakan walkaton sejauh tiga kilometer. Laluan walkaton tersebut bermula dan berakhir di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja.

Bagi memeriahkan lagi suasana sambutan, acara berkenaan turut diserikan dengan cabutan nama bertuah yang menjadi salah satu pengisian program. Acara ini antara lain bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan warga jabatan, para pendidik serta masyarakat umum.

Selain itu, ia turut berperanan memupuk semangat kerjasama dan perpaduan, di samping menggalakkan pengamalan gaya hidup sihat menerusi aktiviti riadah yang melibatkan penyertaan masyarakat umum.

Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat melalui pembudayaan gaya hidup sihat dan aktif.