Berita dan Foto : Ihsan Abdul Aziz Pandin
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 Julai. - Sekolah Menengah Sayyidina Husain (SMSH) baru-baru ini menjadi tuan rumah kepada para pelajar dan delegasi dari Meguro-Gakuin Senior High School, Jepun, bagi Program Imersi dan Inap Desa selama dua hari yang berlangsung dari 25 hingga 26 Julai 2026.
Program berkenaan bertujuan untuk mengeratkan persahabatan, meningkatkan pemahaman budaya dan memperkukuh kerjasama antarabangsa antara para pelajar dari Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan Jepun.
Pada masa yang sama, program berkenaan memberi peluang kepada para pelawat dari Jepun untuk merasai sendiri budaya, tradisi dan kehidupan berkeluarga masyarakat NBD.
Delegasi berkenaan diketuai oleh Tadashi Onishi, Ryosuke Kojima dan Kaori Aiyama.
Majlis alu-aluan dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan NBD dan bacaan doa, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengetua SMSH, Dayang Nor'izzah binti Haji Othman, serta wakil Meguro-Gakuin Senior High School.
Para pelajar daripada kedua-dua buah sekolah turut mempersembahkan kebudayaan masing-masing menerusi beberapa persembahan. Para pelajar SMSH mempersembahkan tarian tradisional dan permainan muzik gulintangan, manakala para pelajar dari Jepun menyampaikan pembentangan dan persembahan yang mengetengahkan sekolah serta kebudayaan Jepun.
Aktiviti suai kenal dan pembinaan pasukan turut diadakan bagi menggalakkan interaksi serta membantu para pelajar menjalinkan persahabatan. Setiap pelajar dari Jepun dipasangkan dengan seorang rakan pembimbing dari SMSH yang menemani mereka semasa lawatan mengelilingi kawasan sekolah dan sepanjang program berlangsung.
Para pelawat kemudiannya diperkenalkan kepada pelbagai juadah tradisional NBD semasa sesi minum pagi. Mereka juga berpeluang menyertai empat stesen aktiviti kebudayaan yang merangkumi pengalaman bermain gulintangan, permainan tradisi NBD, pengenalan kepada pakaian rasmi negara serta aktiviti permainan bahasa dan perkataan.
Antara acara yang turut menarik perhatian ialah aktiviti 'Buddy Blueprint' yang diadakan di perpustakaan sekolah. Dalam aktiviti berkenaan, para pelajar bekerjasama menghasilkan poster pelekat sebagai kenangan terhadap pengalaman dan persahabatan baharu yang terjalin sepanjang program.
Program imersi kebudayaan diteruskan dengan demonstrasi dan sesi merasa ambuyat. Aktiviti berkenaan memberikan peluang kepada para pelawat untuk mengenali dan menikmati salah satu makanan tradisional NBD yang terkenal.
Manakala pada sebelah petang, para pelajar Meguro-Gakuin Senior High School bertemu dengan keluarga angkat masing-masing sebelum memulakan program inap desa. Pengalaman berkenaan membolehkan mereka memahami dengan lebih dekat kehidupan seharian keluarga, adat resam dan layanan mesra masyarakat NBD.
Program berkenaan berakhir pada Ahad lalu dengan Majlis Penyampaian Sijil dan sesi bergambar ramai.
Program berkenaan diselaraskan oleh Dayang Hajah Suriani binti Abdul Rahman dengan sokongan pihak pentadbiran sekolah, para guru, pelajar, ahli-ahli jawatankuasa kerja, keluarga angkat serta warga sekolah.
Menerusi gabungan aktiviti kebudayaan, kerjasama antara pelajar dan pengalaman inap desa, program berkenaan telah menyediakan peluang bermakna kepada para peserta untuk meluaskan pandangan, meningkatkan kemahiran komunikasi antara budaya serta menjalinkan persahabatan yang berkekalan antara kedua-dua buah sekolah.
Pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan program berkenaan dan berharap agar hubungan persahabatan antara SMSH dengan Meguro-Gakuin Senior High School akan terus berkembang pada masa akan datang.