Oleh : Khartini Hamir
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
RIMBA, Rabu, 5 Ogos. - Antrique Holdings Pte. Ltd. (Antrique), menerusi anak-anak syarikatnya di Negara Brunei Darussalam (NBD), pagi tadi melancarkan Platform Inovasi Kecerdasan Buatan (AI) yang menandakan bermulanya pembinaan Kampus Inovasi AI serta pelancaran AI-Powered Food Innovation Initiative.
Platform yang dikuasakan oleh NVIDIA berkenaan menggabungkan AI, tenaga boleh diperbaharui dan aplikasi industri sebenar bagi mempercepat usaha kepelbagaian ekonomi negara, memperkukuh keupayaan AI tempatan serta menyokong agenda transformasi digital selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Sehubungan itu, Majlis Peletakan Batu Asas disempurnakan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Turut hadir, wakil Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di NBD, pegawai-pegawai kanan kerajaan, wakil industri serta rakan-rakan strategik.
Dalam ucapan perasmiannya, Yang Berhormat menegaskan bahawa pelancaran AI-Powered Food Innovation Initiative oleh Envolv Sdn. Bhd. serta Majlis Perletakan Batu Asas bagi pembinaan Kampus Inovasi AI berkenaan membuktikan komitmen berterusan dalam memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh jaminan keselamatan makanan dan memacu pembangunan mampan.
Menurut Yang Berhormat lagi, inisiatif yang menggabungkan AI, tenaga boleh diperbaharui dan pertanian berketepatan tinggi (precision agriculture) berkenaan adalah selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 untuk membangunkan ekonomi yang berasaskan pengetahuan, inovasi dan teknologi.
Yang Berhormat turut menyeru agar kerjasama yang lebih erat dapat diperkukuh antara agensi kerajaan, institusi akademik dan sektor swasta dalam memacu inovasi serta memastikan penggunaan teknologi memberi manfaat yang bermakna kepada negara, di samping menyokong usaha kepelbagaian ekonomi NBD.
Platform Inovasi AI berkenaan dibangunkan berasaskan infrastruktur AI NVIDIA dan menjadi teras utama inisiatif berkenaan.
Aplikasi utama platform berkenaan ialah AI-Powered Food Innovation Initiative, yang dimulakan melalui pembangunan ladang kopi berasaskan AI dengan menggabungkan teknologi AI, tenaga boleh diperbaharui dan pertanian berketepatan tinggi bagi meningkatkan produktiviti, kelestarian serta kualiti hasil tanaman.
Selain itu, projek berkenaan dijangka menghasilkan set data yang diyakini bagi menyokong pembangunan model AI yang disesuaikan dengan keperluan negara sebelum diperluaskan secara berperingkat ke sektor pertanian, akuakultur, perikanan serta sektor-sektor strategik yang lain.
Semasa berucap pada Bengkel AI4BRUNEI, yang dianjurkan dengan kerjasama NVIDIA dengan menghimpunkan pihak berkepentingan daripada sektor kerajaan dan rakan-rakan strategik, Kuasa Usaha Kedutaan AS di Brunei Darussalam, Laura Brown berkata, AS komited menyokong pembangunan ekosistem inovasi NBD melalui teknologi, perkongsian pengetahuan dan pembangunan keupayaan.
Menurutnya lagi, kerjasama dengan syarikat-syarikat teknologi AS, termasuk NVIDIA, bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat NBD, malah terus memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Sementara itu Pengarah Antrique, Alvina Lau pula menjelaskan bahawa AI mampu memberikan impak yang paling besar apabila diaplikasikan bagi menyelesaikan cabaran dunia sebenar.
Tambahnya, dengan memanfaatkan infrastruktur AI NVIDIA, Antrique sedang membangunkan sebuah platform inovasi AI yang dibangunkan, diuji dan dilaksanakan dari NBD, dengan matlamat menghasilkan penyelesaian AI yang mampu memperkukuh ekonomi negara serta memberi manfaat di peringkat antarabangsa.
Beliau turut memaklumkan bahawa syarikat berkenaan merancang membangunkan TokenFactory, iaitu sebuah platform yang membolehkan penciptaan dan pengkomersialan aset digital yang dipercayai dan sedia AI, model AI khusus serta penyelesaian pintar.
Inisiatif berkenaan katanya lagi dijangka membuka peluang kepada NBD untuk mengeksport teknologi berasaskan AI dan memperkukuh kedudukan negara dalam ekonomi AI global.
Pada masa yang sama, Antrique turut meneroka peluang kerjasama dengan universiti-universiti serta institusi penyelidikan antarabangsa terkemuka, termasuk Massachusetts Institute of Technology (MIT), dalam bidang penyelidikan, inovasi, pembangunan bakat dan pengkomersialan teknologi.
Pelancaran Platform Inovasi AI menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama Antrique dengan NVIDIA serta mencerminkan usaha berterusan semua pihak dalam memperkukuh ekosistem AI negara.
Melalui gabungan teknologi bertaraf dunia, infrastruktur mampan dan aplikasi industri yang praktikal, NBD diyakini berpotensi muncul sebagai hab inovasi AI yang diyakini bagi inovasi AI dan penyelesaian berasaskan AI yang berdaya saing di peringkat serantau dan global.