Oleh : Fathi Foad Abu Bakar
Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Kenaikan harga merupakan satu fenomena global yang sedang dihadapi oleh kebanyakan negara. Ketidaktentuan ekonomi dunia termasuk konflik geopolitik telah memberi kesan kepada harga minyak, kos tenaga pengangkutan dan logistik antarabangsa di samping gangguan rangkaian bekalan global.
Peningkatan kos pada setiap peringkat rantaian nilai ini akhirnya boleh diterjemahkan kepada kenaikan harga barangan yang dibayar oleh para pengguna. Oleh itu, kerajaan sentiasa meneliti keseluruhan rantaian nilai bagi memahami faktor-faktor yang menyumbang kepada perubahan harga dan memastikan sebarang kenaikan adalah berasaskan kos yang sebenar.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, semasa menjawab pertanyaan bagi jawab lisan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, seterusnya mengongsikan bagi memahami keadaan industri tertentu dan menilai serta mengenal pasti punca kenaikan harga di antara inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian ini adalah dengan mengadakan konsultasi-konsultasi, ‘engagement’ dengan para peniaga terutama sekali kepada para ‘distributor’ dan ‘supplier’.
Pendekatan ini kata Yang Berhormat, telah dilaksanakan dalam memahami impak berikutan krisis Timur Tengah terhadap industri plastik dan ‘shipping cost’ di negara ini. Pendekatan ini membolehkan kerajaan mengambil langkah mitigasi yang bersesuaian jika perlu, berasaskan bukti, ‘evidence-based’ dan seterusnya mengimbangi kepentingan pengguna dengan kelangsungan operasi perniagaan dalam keadaan ekonomi yang sentiasa berubah.
Selain daripada itu tambah Yang Berhormat, kementerian ini juga melaksanakan dan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga bagi barangan bersubsidi, iaitu beras, gula dan gasolin serta barangan asasi tertentu seperti minyak masak dan juga susu formula. Melalui penguatkuasaan ini, kerajaan memastikan ‘affordability’ dan ‘accessibility’ barangan tersebut kepada orang ramai.
Yang Berhormat juga menerangkan mengenai dengan penguatkuasaan akta juga menyumbang kepada kestabilan kadar inflasi negara walaupun negara terdedah kepada ketidaktentuan ekonomi global seperti inflasi antarabangsa dan gangguan rantaian bekalan global dan peningkatkan kos bahan mentah dan seterusnya memberikan kesan kepada turun naik harga barangan.
Pada masa yang sama kata Yang Berhormat lagi, bagi memastikan pasaran dan pengelakkan kesan negatif akibat campur tangan yang berlebihan, kerajaan turut memberi penekanan kepada peningkatan ketelusan harga (price transparency). Ini dilaksanakan melalui inisiatif pemantauan harga barangan makanan asasi terpilih yang dikemaskinikan secara mingguan, melibatkan penggumpulan data harga dari lebih 100 buah premis runcit dan pasaraya di seluruh negara.
Makluman harga ini tambah Yang Berhormat lagi, akan terus dibarigakan melalui aplikasi PenggunaBijak yang kini dalam proses penambahbaikan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan dijangka akan dikenalkan balik semula pada masa terdekat bagi memudahkan pengguna membuat perbandingan harga yang bermaklumat.
"Sementara itu, maklumat harga tersebut terus dikongsikan melalui laman sesawang Bahagian Hal Ehwal Pengguna bagi memastikan orang ramai mempunyai akses berterusan kepada maklumat yang berkenaan.
"Di samping itu, inisiatif pemantauan harga juga membantu kerajaan meneliti perubahan harga bagi memastikan perubahan berkenaan adalah berasas. Inisiatif ini membolehkan kerajaan untuk mengesan kenaikan harga yang mendadak dan mengenal pasti punca peningkatan sama ada seperti disebabkan oleh faktor kenaikan kos bahan mentah atau gangguan rangkaian bekalan," jelas Yang Berhormat.
Yang Berhormat Menteri seterusnya menambah, analisis data pemantauan harga berperanan sebagai isyarat awal (early warning) bagi membolehkan sebarang intervensi seperti secara bersepadu dapat menangani isu yang berpotensi menjejaskan kestabilan harga.
Dalam menangani impak kenaikan harga kata Yang Berhormat, para perniaga juga turut memainkan peranan yang penting dari aspek memastikan rangkaian bekalan yang stabil dengan mempelbagaikan sumber import dan mencari kos import yang lebih rendah serta berpatutan sebagai ‘substitute’ kepada sumber import yang sedia ada.
"Sehubungan dengan ini, kementerian secara berterusan komited memelihara kestabilan harga dan mengukuhkan daya tahan ekonomi menerusi pendekatan Whole-of-Government dan pelaksanaan ‘industry roadmap’ di bawah Bahagian Penyelarasan Dasar-dasar Ekonomi sebagai instrumen strategik untuk menilai kekuatan dan kelemahan ekosistem industri bagi sektor-sektor khas keutamaan negara.
"Melalui penelitian tersebut, kementerian dapat mengenal pasti peluang untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing industri menangani jurang dari aspek infrastruktur, logistik dan industri sokongan serta memperluaskan aktiviti nilai tambah tempatan dan mengenal pasti pengeluaran domestik bagi mengurangkan bergantungan kepada eksport, kepada import dan mengukuhkan daya tahan industri tempatan," ujar Yang Berhormat lagi.
Mengakhiri jawab lisan, Yang Berhormat menjelaskan secara keseluruhannya, pendekatan dilaksanakan ini bagi membolehkan kementerian menangani faktor-faktor yang mempengaruhi kos di sepanjang rantaian nilai merangkumi aspek penguatkuasaan, pemantauan, pembarigaan dan pengukuhan daya saing industri dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.
Usaha ini kata Yang Berhormat lagi, dihasratkan untuk dapat menyokong kestabilan bekalan dan harga dalam jangka panjang, di samping memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan serta meningkatkan daya saing ekonomi negara.