VBY2027 fokus pelancongan bernilai tinggi

6 Og 2026 - 7:03am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. – Pendekatan kerajaan dalam menjayakan Visit Brunei Year 2027 (VBY2027) bukanlah semata-mata berorientasikan kepada peningkatan jumlah ketibaan pelawat (volume driven tourism).

Memandangkan pasaran pelancongan Negara Brunei Darussalam (NBD) adalah lebih berfokus, strategi yang diterapkan adalah ke arah pelancongan bernilai tinggi.

High Value, High Yield Tourism, iaitu menarik pelawat yang mempunyai kecenderungan untuk tinggal lebih lama (longer length of stay), berbelanja lebih tinggi (higher average spend) serta menikmati pengalaman yang unik dan berkualiti.

Perkara demikian dijelaskan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin semasa menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, juga Ketua Kampung Putat, Daerah Brunei dan Muara pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Bagi mencapai matlamat tersebut tambah Yang Berhormat, beberapa pendekatan utama sedang dilaksanakan.

"Pertama, mempromosi pelancongan yang lebih meluas dan agresif. Kementerian terus memperkasakan inisiatif promosi antarabangsa menerusi penyertaan aktif dalam 24 ekspo dan jerayawara di pasaran sasaran. Strategi pemasaran ini turut diperkukuhkan lagi melalui kerjasama dengan agensi-agensi berita antarabangsa seperti CNN, Euro News dan juga Al-Jazeera bagi TV ‘and other’ media promosi dan di samping itu pelaksanaan enam kempen digital bersama ‘online travel agents’ seperti Skyscanner, Room2Rio, Trip.com, Klook, Agoda and Ctrip," ujar Yang Berhormat.

Di samping itu juga tambah Yang Berhormat, 10 orang Key Opinion Leaders yang bertaraf antarabangsa, yang terkenal diundang untuk meliputi VBY2027 pada tahun ini insyaaAllah, di samping terdapat, penyertaan dalam 24 ekspo bukan saja di East Asia malah di Europe dan juga di Australia dan US.

Bagi memperkukuhkan penawaran produk dan pengalaman pelancongan bernilai tinggi melalui VBY2027, Yang Berhormat menjelaskan, kementerian sedang membangunkan lebih banyak pengalaman pelancongan yang ‘curated’, iaitu pengalaman yang dirancang secara khusus, mempunyai nilai tambah dan mencerminkan keunikan NBD.

Menurut Yang Berhormat, antara tema pengalaman yang akan diketengahkan dan dimasukkan dalam ‘calendar of event’ ialah penerokaan alam semula jadi (‘adventure and nature exploration’); seni dan ekonomi (‘creative arts and creative economy’); warisan budaya dan komuniti (‘cultural heritage and community based tourism’); gastronomi dan makanan tempatan (‘culinary tourism’); sukan dan rekreasi (‘sport and recreational tourism’) serta warisan dan tradisi (‘Islam, Islamic heritage and tradition’).

"Pendekatan ini akan memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk menghasilkan produk, ‘packages’ dan pengalaman baru yang membolehkan pelawat bukan saja datang untuk melawat tapi turut mengambil bahagian, berinteraksi dan berbelanja di Negara Brunei Darussalam," ujar Yang Berhormat.

Sementara itu, dalam memperkasakan penganjuran acara bertaraf antarabangsa dan aktiviti sepanjang tahun, Yang Berhormat berkata, kementerian sedang menyusun kalendar acara kebangsaan VBY2027 yang merangkumi festival-festival kebudayaan, gastronomi, sukan, persidangan dan juga pameran perniagaan (MYCE).

Menurut Yang Berhormat lagi, penganjuran acara yang berkualiti bukan saja berperanan menarik pelawat antarabangsa dan serantau, malah dapat meningkatkan permintaan terhadap sektor penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan, aktiviti pelancongan serta produk tempatan.

Jelas Yang Berhormat lagi, antara acara yang bakal dikelolakan ialah insyaaAllah SOAS Bridge Marathon, International Art Festival, mengadakan International Food Festival dan berbagai-bagai lagi, tambahan VBY2027 ini bertepatan dengan Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena 60 tahun menaiki takhta pada tahun 2027 yang merupakan satu peluang besar untuk memperkenalkan NBD di peringkat antarabangsa melalui pelbagai acara dan pengalaman istimewa semasa perayaan tersebut.