Sekolah Menengah Katok juara Pertandingan Gulintangan

2 Sep 2026 - 8:48am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

TUNGKU LINK, Selasa, 1 September. - Sekolah Menengah Katok dinobatkan sebagai juara Peringkat Akhir Pertandingan Gulintangan antara Sekolah - sekolah Menengah, Maktab-maktab dan Pusat Tingkatan Enam Senegara 2026 setelah memperoleh markah sebanyak 86.54 peratus berlangsung di Pusat Kesenian Pro Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Tungku Link.

Manakala Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri memperoleh 85.92 peratus mendapat tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi oleh Sekolah Menengah Sayyidina Husain dengan memperoleh 84.80 peratus.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fazlin bin Haji Amdan.

Sebanyak tujuh pasukan berjaya layak ke peringkat akhir dari 11 pasukan yang bertanding di peringkat saringan yang terdiri daripada Sekolah Menengah Katok, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri, Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Sekolah Menengah Lambak Kiri, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Sekolah Menengah Sayyidina Husain.

Pertandingan ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kesenian dan Kreativiti, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, dengan kerjasama Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja dan Akademi Pengajian Brunei, UBD.

Adapun tujuan diadakan adalah untuk memelihara dan mengekalkan seni budaya Brunei secara berterusan melalui aktiviti kokurikulum yang berunsurkan kesenian dan kebudayaan.

Selain itu juga, untuk menanamkan semangat cintakan negara dengan menjaga keaslian tradisi kebudayaan orang-orang Brunei, khususnya dalam kalangan para pelajar, serta menyediakan kumpulan pemain gulintangan bagi keperluan acara atau majlis tertentu sama ada di dalam negara mahupun di luar negara.

Objektif pertandingan tersebut adalah untuk mengembangkan pengetahuan, bakat dan kreativiti para pelajar dalam menguasai permainan gulintangan dalam suasana pertandingan yang sihat, di samping memberikan peluang yang luas kepada pelajar untuk menghayati dan mempelajari irama-irama asli budaya Brunei.

Pertandingan ini diharapkan dapat mewujudkan sikap semangat dan bekerjasama dalam diri setiap pelajar serta meningkatkan keyakinan terhadap kebolehan diri sendiri dan rakan-rakan mereka.