Oleh : Khartini Hamir
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Sabtu, 7 November. - Pameran Majlis Ilmu tahun ini mengetengahkan pelbagai usaha berterusan yang dilaksanakan oleh kementerian-kementerian, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam mengukuhkan penerapan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai tonggak kedaulatan negara.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad dalam sembah alu-aluannya pada Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2026 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) menyembahkan, Pameran Majlis Ilmu 2026 itu bertemakan konsep digital dan interaktif.
Pameran dibahagikan kepada enam kluster utama iaitu Pertama: Menghayati Sejarah Negara Melayu Islam Beraja; Kedua: Mengukuhkan Kesetiaan Kepada Ugama, Raja dan Negara; Ketiga: Mempertahankan Keyakinan terhadap Nilai-Nilai lslam; Keempat: Memelihara Keharmonian Sosial; Kelima: Menghayati Amalan Tradisi Berbaik-baik; dan Keenam: Menghayati Warisan Budaya dan Tradisi yang Tidak Bercanggah Dengan Ugama Islam.
Sembah Yang Berhormat lagi, melalui pameran ini rasa kasih dan taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai payung Allah di bumi Brunei dapat terus disemai dan diperkukuhkan.
Selain itu, pameran ini turut berperanan sebagai wadah untuk memelihara dan mengamalkan MIB dalam kehidupan seharian.
Malah pameran tersebut juga sembahnya, dapat mengukuhkan kefahaman masyarakat bahawa MIB bukan terbatas kepada nilai-nilai murni, tradisi, adat dan warisan budaya semata-mata, bahkan merupakan satu falsafah kenegaraan yang menjamin kestabilan politik, keamanan, kemajuan, kesejahteraan, keharmonian, kemakmuran dan kedaulatan negara.
Turut disembahkan, Tema Majlis Ilmu 2026 iaitu 'Melayu Islam Beraja: Tonggak Kedaulatan Negara', yang membawa pengertian bahawa Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara Melayu yang berpandukan kepada ajaran-ajaran lslam yang mana raja adalah merupakan pemimpin dan pemerintah tertinggi negara.
"Pencerahan dan penghuraian tema insyaaAllah akan dibentangkan dan dijelaskan melalui Ceramah Khas, Forum Perdana, Ceramah Perdana, Seminar dan Sesi Forum di daerah-daerah juga akan turut diungkayahkan dengan mengundang pakar-pakar khusus dalam bidang masing-masing," sembah Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat juga menyembahkan bahawa Majlis Ilmu tahun ini diungkayahkan bersama dan diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri, melibatkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, dan Jabatan Mufti Kerajaan.
Penganjuran Majlis Ilmu tahun ini juga didukung dan disokong oleh Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja.
Seterusnya disembahkan bahawa Perasmian Majlis Ilmu tahun ini diisikan dengan Ceramah Khas yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Dalam sembah alu-aluannya juga, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) mewakili Penasihat-penasihat Bersama dan Pengerusi-pengerusi Bersama serta semua peringkat Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa Kerja Majlis Ilmu 2026 bersempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80 Tahun, sukacita turut merafakkan sembah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan sembah menjunjung kasih dan penghargaan yang setinggi-tingginya di atas perkenan baginda bercemar duli menyerikan Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2026.
"Sesungguhnya keberangkatan Kebawah Duli Tuan Patik ke majlis ini berserta kerabat-kerabat diraja merupakan kurnia yang sangat bermakna dan istimewa untuk Abis Hamba Kebawah Duli Tuan Patik yang sudah setentunya menambah seri dan keberkatan majlis serta menyerlahkan lagi kepimpinan intelektual dan keprihatinan Kebawah Duli Tuan Patik terhadap kepentingan ilmu dan usaha yang berterusan ke arah Negara Brunei Darussalam memiliki dan melahirkan generasi yang berilmu dan berpendidikan tinggi sebagaimana jua hasrat Kebawah Duli Tuan Patik melalui Wawasan Brunei 2035," sembahnya.
Yang Berhormat juga menyembahkan sembah menjunjung kasih yang setinggi-tingginya di atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat bercemar duli bagi merasmikan Majlis Ilmu 2026 serta mengurniakan titah dan seterusnya berkenan melancarkan dua buah buku.
Bagi mengakhiri sembah alu-aluan, Yang Berhormat juga seterusnya menyembahkan sembah menjunjung kasih di atas keberangkatan paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM dan mendoakan semoga segala usaha dan sumbangan murni yang diberikan akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata'ala jua.