MIB tonggak bina identiti sebuah negara merdeka, berdaulat

8 Nov 2026 - 6:42am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Sabtu, 7 November. - Dalam konteks Negara Brunei Darussalam (NBD), perkataan Melayu Islam Beraja (MIB) bukanlah suatu yang asing kepada orang-orang Brunei.

Kerana, kita sedia maklum bahawa MIB merupakan falsafah negara yang telah beta isytiharkan semasa Pemasyhuran Kemerdekaan NBD pada 1 Januari 1984.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sempena Majlis Ilmu 2026 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.

Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir dalam perhimpunan Majlis Ilmu yang penuh keberkatan pada pagi ini.

"Beta gembira, Majlis Ilmu terus diadakan sebagai salah satu acara yang disempenakan dalam acara-acara Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan beta.

"Penganjuran Majlis Ilmu seumpama ini, tidak syak lagi mempunyai nilai yang tinggi di sisi Allah Subhanahu Wata'ala dan ugama. Kerana, di dalamnya kita dapat menambah pelbagai bidang ilmu, melalui aktiviti-aktiviti keilmuan. Bahkan ia merupakan ibadat dan amal kebajikan yang memberi manfaat kepada setiap individu, masyarakat dan negara," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah mengambil maklum bahawa tema Majlis Ilmu pada tahun ini ialah 'MIB : Tonggak Kedaulatan Negara'.

Secara ringkasnya, titah baginda, Melayu mencerminkan jati diri, bahasa, adat dan budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat dan negara.

Titah baginda lagi, Islam pula, menjadi suluh akidah, syariah dan akhlak serta suluh kehidupan bernegara. Manakala Beraja, mencerminkan institusi pemerintahan yang menjadi payung Allah di bumi-Nya yang bertanggungjawab memelihara ugama, keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Pada hemat baginda, falsafah MIB ini perlu difahami, dihayati dan diamalkan oleh seluruh lapisan masyarakat sebagai tonggak untuk membina identiti sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat.

Kerana itu, titah Kebawah DYMM lagi, MIB tidak boleh dilihat hanya sebagai suatu ungkapan atau slogan semata-mata. Tetapi ia juga adalah teras sejarah, nilai ugama dan sistem pemerintahan yang tersendiri.

"Oleh kerana itu, kemerdekaan tidak dapat dipisahkan daripada falsafah MIB, sementara kedaulatan pula, adalah perlu untuk didukung dan dipertahankan oleh semua. Ia bukan hanya tanggungjawab pemerintah, malah merupakan amanah untuk dipikul bersama-sama," titah baginda.

Inilah titah baginda, MIB yang perlu diperkasa dan dipertahankan oleh generasi demi generasi.

Kebawah DYMM seterusnya bertitah, MIB bukan hanya menjelaskan siapa kita dan dari mana asal kita, tetapi juga turut menentukan bagaimana kita melangkah ke hadapan selaku bangsa yang mempunyai jati diri tersendiri.

Baginda penuh yakin dan optimis, dengan berlandaskan MIB, Brunei akan terus disenangi dan dihormati. Tidak siapa yang akan melihat Brunei malap, malah sentiasa berseri-seri kerana Al-Quran sentiasa dibaca pada setiap hari.

Maka generasi Brunei, titah baginda lagi, bolehlah ia dipanggil Generasi MIB, generasi masa depan yang cemerlang, yang gigih membangun dan memajukan negara hingga ke taraf dunia.

Pada kesempatan ini, baginda menyeru kepada semua pihak, untuk sama-sama bertanggungjawab memastikan MIB kekal hidup dalam keluarga, dalam masyarakat, dalam pendidikan, dalam Perkhidmatan Awam mahupun swasta, dalam institusi keugamaan dan dalam kehidupan bernegara.

Akhirnya, Kebawah DYMM tidak lupa mengucapkan tahniah kepada penganjur dan semua ahli jawatankuasa yang terlibat. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberkati segala usaha kita yang berkebajikan. Amin.

"Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Allahumma Shalli 'Alaa Sayyidina Muhammad, Wa 'Alla Alihi Wasahbihee Wasallim, beta dengan sukacita melancarkan buku bertajuk 'Sihir : Kejahatan Sepanjang Zaman' dan 'Buku Kecil Untuk Mengubat Sihir dan Merawat Kerasukan' serta sekali gus merasmikan Majlis Ilmu 2026 berserta semua acara di dalamnya," titah baginda.