Pameran serlahkan pemantapan MIB sebagai tonggak kedaulatan NBD

8 Nov 2026 - 6:17am

Oleh : Nurdiyanah Rajami

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Sabtu, 7 November. - Pameran Majlis Ilmu 2026 yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, di sini, menyerlahkan usaha yang berterusan daripada kementerian-kementerian dan sektor swasta bagi mengukuhkan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai tonggak kedaulatan Negara Brunei Darussalam (NBD).

Sejajar dengan tema Majlis Ilmu pada tahun ini iaitu 'MIB : Tonggak Kedaulatan Negara', pameran berkenaan mencerminkan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai peranan MIB sebagai asas pembentukan identiti kebangsaan, pembangunan negara dan kedaulatan NBD.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyaksikan Pameran Majlis Ilmu 2026 di Ruang Legar, ICC.

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Dengan membawa konsep digital dan interaktif, Pameran Majlis Ilmu 2026 ini dibahagikan kepada enam kluster utama. Kluster Pertama : 'Menghayati Sejarah Negara MIB' mempamerkan sejarah bermulanya MIB di NBD.

MIB diisytiharkan secara rasmi sebagai falsafah negara pada 1 Januari 1984. Namun, sejarah membuktikan bahawa MIB di NBD mula diterapkan sejak pemerintahan Sultan Brunei yang pertama, iaitu Awang Alak Betatar yang telah memeluk agama Islam sehingga dikenali sebagai Sultan Muhammad Shah pada tahun 1368 Masihi.

Dari sejak itu, terbentuklah pemerintahan yang bercorak Kesultanan Melayu Islam. Pameran dalam kluster ini dipersembahkan oleh Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MTMIB).

Manakala pameran Kluster Kedua : 'Mengukuhkan Kesetiaan kepada Ugama, Raja dan Negara' menumpukan kepada pengukuhan kesetiaan kepada ugama, raja dan negara yang merupakan nilai MIB, menekankan hubungan erat antara rakyat dengan institusi pemerintahan serta tanggungjawab bersama dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemajuan negara; dan kesetiaan yang utuh dalam kalangan rakyat dan penduduk merupakan antara tonggak ke arah kedaulatan negara. Pameran dalam kluster ini dipersembahkan oleh JPM, KHEDN, Kementerian Pendidikan, Jabatan Mufti Kerajaan dan Pusat Sejarah Brunei.

Oleh itu, pameran dalam kluster ini sekali gus mempamerkan usaha dalam memastikan jentera kerajaan dan seluruh rakyat serta penduduk berpegang teguh kepada ajaran ugama Islam, taat setia kepada raja dan negara yang dikasihi serta menanai tinggi konsep MIB.

Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Kementerian Kesihatan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) pula mempersembahkan pengisian ruang pameran bagi Kluster Ketiga : 'Mempertahankan Keyakinan terhadap Nilai-nilai Islam'.

Antara yang disentuh dalam kluster ini ialah selepas kemerdekaan NBD pada tahun 1984, kedudukan agama Islam semakin diperkukuhkan melalui pelbagai dasar dan institusi negara yang menyokong pembangunan kehidupan berteraskan nilai Islam. Ia juga mempamerkan usaha mempertahankan cara hidup bermasyarakat dan bernegara yang bersendikan ajaran-ajaran agama Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah.

Pameran Kluster Keempat : 'Memelihara Keharmonian Sosial' telah mengetengahkan bahawa di NBD, keharmonian sosial ialah hasil daripada pengamalan nilai-nilai MIB yang menekankan perpaduan, toleransi dan kesejahteraan bersama. Keharmonian sosial mewujudkan suasana kehidupan yang aman, mengurangkan konflik, saling menghormati antara satu sama lain dan memperkukuhkan hubungan sesama manusia.

Pameran dalam kluster ini telah dipersembahkan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pembangunan, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) di bawah Sistem Kebajikan Negara (SKN).

Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi turut mempersembahkan pengisian bagi ruang pameran dalam Kluster Kelima : 'Menghayati Amalan Tradisi Berbaik-baik'. Sifat amalan berbaik-baik merupakan amalan masyarakat Brunei dan berperanan penting dalam mewujudkan keharmonian sosial, memperkukuhkan perpaduan serta mengekalkan kestabilan negara.

Budaya hormat-menghormati dan berbaik-baik ini turut menjadi asas dalam hubungan diplomatik NBD dengan negara serantau dan antarabangsa, selaras dengan pendekatan diplomasi yang mengutamakan persefahaman, kerjasama dan hubungan persahabatan yang berkekalan. Selain itu, dalam era digital dan Kecerdasan Buatan yang berkembang pesat telah mengubah cara manusia berinteraksi, berkomunikasi dan memperoleh maklumat.

Manakala pameran dalam Kluster Keenam : 'Menghayati Warisan Budaya dan Tradisi' pula telah dipersembahkan oleh KKBS. Antara perkara yang diketengahkan ialah menghayati warisan budaya dan tradisi yang tidak bercanggah dengan agama Islam merujuk kepada segala bentuk nilai, adat, bahasa, kesenian, institusi dan amalan kehidupan masyarakat Brunei yang diwarisi daripada generasi terdahulu serta selaras dengan konsep MIB, iaitu budaya Melayu yang diamalkan selaras dengan nilai keislaman dan menghormati sistem beraja.

Melalui Pameran Majlis Ilmu 2026 ini jelas menunjukkan rasa kasih dan taat setia rakyat dan penduduk NBD kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai payung Allah di bumi Brunei Darussalam terus disemai dan diperkukuhkan.

Selain itu, pameran ini juga turut berperanan sebagai wadah untuk mengukuhkan pengetahuan dan kefahaman masyarakat mengenai konsep MIB dan kepentingannya dalam memelihara dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Malah, pameran ini juga dapat memperkaya persepsi masyarakat bahawa MIB bukan hanya terbatas kepada nilai-nilai murni, tradisi, adat dan warisan budaya semata-mata, bahkan merupakan satu falsafah kenegaraan yang menjamin kestabilan politik, keamanan, kemajuan, kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negara.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk menyaksikan Pameran Majlis Ilmu 2026 ini yang dibukakan selama lapan hari bermula hari ini sehingga 14 November 2026.