Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
GADONG, Sabtu, 10 Oktober. – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Rakan U.M.A.T (Untuk Mu Amalan Terpuji) telah menganjurkan program Mind To Heart 4.0 sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026, bertempat di Auditorium UNISSA, Kampus Gadong.
Program tahunan berkenaan merupakan inisiatif strategik bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai kepentingan kesihatan mental, khususnya dalam kalangan warga UNISSA dan masyarakat awam.
Pada tahun ini, program berkenaan berlangsung mulai 10 hingga 25 Oktober 2026.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan program berkenaan, Pemangku Rektor UNISSA, Profesor Dr. Dayang Siti Sara binti Awang Haji Ahmad.
Turut hadir, Penolong-penolong Rektor UNISSA, pegawai-pegawai utama, pegawai dan kakitangan universiti serta mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.
Majlis diteruskan dengan forum bertajuk 'The Space Between Pressure & Peace' yang menampilkan Ketua Pejabat Hal Ehwal Alumni, Awang Muhammad Fuad bin Haji Matahir, sebagai salah seorang panel, manakala mahasiswi Fakulti Teknologi Islam, Dayang Nur Qestenna Wardeena binti Haji Chalideon-Bam, selaku moderator.
Forum berkenaan turut menampilkan dua panel jemputan, iaitu Director & Project Manager Keep Moving Forward BN, Dayang Fatin Afiqah binti Md. Asrul Saniy; serta Co-Founder & Lead Demi Gadis, Alai Syafina @ Penny Pong binti Muhd. Haafizh Shah. Kedua-duanya merupakan penerima Anugerah Belia Cemerlang 2026.
Perbincangan forum mengetengahkan pelbagai cabaran kesihatan mental yang dihadapi oleh golongan belia, khususnya mahasiswa, termasuk tekanan rakan sebaya, pengaruh media sosial, salah tanggapan terhadap kesihatan mental serta kepentingan menetapkan batasan diri yang sihat.
Para panel turut menekankan kepentingan mengekalkan keseimbangan antara tuntutan akademik, kehidupan sosial dan kesejahteraan diri, di samping memperkukuh hubungan dengan Allah Subhanahu Wata'ala.
Melalui perkongsian berkenaan, mahasiswa digalakkan untuk menghargai diri sendiri, mendapatkan sokongan apabila menghadapi kesukaran serta membina daya tahan dalam menangani pelbagai cabaran kehidupan.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program Mind To Heart 4.0, Pameran Kesihatan Mental akan diadakan pada 13 hingga 15 Oktober 2026 di Dewan Auditorium UNISSA.
Pameran yang melibatkan 14 agensi kerajaan dan bukan kerajaan berkenaan dibukakan kepada warga UNISSA, orang awam serta pelajar sekolah rendah dan menengah bagi memberikan pendedahan awal mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental.
Antara agensi yang terlibat ialah Rakan U.M.A.T, UNISSA; Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan; Unit Bantuan Khusus, Kementerian Pendidikan; Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah; Perkhidmatan Psikiatri, Kementerian Kesihatan; Unit Kaunseling, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM); Unit Aduan, JAPEM; dan Unit Perkhidmatan Kaunseling, Jabatan Pengajian Islam.
Turut menyertai pameran berkenaan, Persatuan Bulan Sabit Merah, Unit Kaunseling Royal Brunei Airlines, Pusat Prihatin, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB); Pusat Pengurusan Bencana serta Sparkle Therapy.
Menerusi pameran berkenaan, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat dan panduan praktikal berkaitan pengurusan stres, kesejahteraan emosi dan kemahiran sosial, selain berinteraksi secara langsung dengan wakil agensi yang menyediakan perkhidmatan sokongan psikososial.
Melalui penganjuran Mind To Heart 4.0, UNISSA berharap agar program berkenaan dapat menggalakkan perbincangan yang lebih terbuka mengenai kesihatan mental, memperkukuh sokongan komuniti serta mendorong masyarakat untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya dan mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesejahteraan diri.