Murid Darjah VI dirai dalam Majlis Khatam Al-Quran

29 Jul 2026 - 6:16am

Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 28 Julai. - Usaha melahirkan generasi celik Al-Quran yang beriman, beramal dan bertakwa terus diperkukuhkan menerusi penganjuran Majlis Khatam Al-Quran Murid-Murid Darjah VI bagi sekolah-sekolah ugama di negara ini termasuk juga Sekolah Ugama Begawan Pehin Udana Khatib Haji Awang Umar, Kampung Setia, hari ini.

Majlis yang berlangsung petang tadi merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dalam memperkasa pendidikan Al-Quran serta menyemarakkan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam, selaras dengan hasrat kerajaan untuk membentuk generasi yang menjadikan Al-Quran sebagai panduan kehidupan.

Di Sekolah Ugama Begawan Pehin Udana Khatib Haji Awang Umar, Kampung Setia, seramai 31 murid Darjah VI telah diraikan selepas berjaya menamatkan bacaan 30 Juzuk Al-Quran. Daripada jumlah tersebut, 14 orang ialah murid lelaki manakala 17 orang lagi murid perempuan.

Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Pemangku Ketua Bahagian Pendidikan Khas Ugama, JPI, Awang Haji Suherdey bin Serbini, yang juga memimpin bacaan Surah Al-Fatihah sebelum menyempurnakan penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta sebagai tanda penghargaan atas kejayaan mereka.

Terdahulu, para peserta khatam membacakan surah-surah Al-Quran bermula dari Surah Ad-Duha hingga Surah Al-Lahab.

Majlis disemarakkan dengan bacaan Takhtim dipersembahkan oleh murid perempuan Darjah IV dan V manakala Dikir Marhaban pula dibawakan murid lelaki Darjah IV dan V sekolah tersebut.

Doa khatam Al-Quran dibacakan oleh Mohammad Hasmawi bin Hamidun dan Doa Selamat pula dipimpin oleh Muhd. Zainul Muttaqin bin Haji Zulkifli.

Kejayaan para murid tidak dicapai tanpa persediaan yang rapi apabila pihak sekolah telah memulakan sesi mentasmik bacaan Al-Quran secara berkala sejak Januari lalu.

Proses bimbingan yang dijalankan seminggu sekali itu bertujuan memastikan setiap murid dapat membaca Al-Quran dengan baik dan lancar sehingga berjaya mengkhatamkan keseluruhan 30 juzuk.

Majlis Khatam Al-Quran bukan sahaja menjadi simbol kejayaan para murid dalam menguasai bacaan Al-Quran, malah diharapkan dapat menyemai rasa cinta terhadap kitab suci itu serta mendorong mereka untuk terus membaca, memahami dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian demi melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.