Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Hal Ehwal Masjid
TANAH JAMBU, Sabtu, 25 Julai. - Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Pusat Pembangunan Belia (PPB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Kelas Kemahiran Membuat Kuih Rempeyek di PPB, KKBS.
Kelas tersebut disertai oleh Muslimah dari Daerah Brunei dan Muara serta Daerah Tutong. Turut hadir menyertai kelas ialah isteri Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Fairuz binti Haji Zolkipli.
Penganjuran kelas berkenaan bertujuan memberikan pendedahan asas kepada para peserta mengenai kemahiran membuat Kuih Rempeyek, iaitu antara kuih tradisional yang semakin kurang dipraktikkan pada masa kini.
Selain memupuk kemahiran dan daya tahan diri, kelas tersebut juga dihasratkan dapat membuka peluang kepada peserta untuk menjana pendapatan, mendapatkan pekerjaan atau menceburi bidang keusahawanan secara berdikari.
Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan yang disempurnakan oleh Penolong Pengarah PPB, Awang Haswandi bin Haji Osman.
Diharapkan penganjuran kelas seumpama ini akan terus memberikan kemahiran asas yang bermanfaat kepada Muslimah masjid dan masyarakat, sekali gus meningkatkan pengetahuan serta nilai tambah kepada kemahiran golongan sasar.