Siaran Akhbar : Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 28 Julai. - Negara Brunei Darussalam (NBD) pada masa ini berada di dalam Monsun Barat Daya, yang lazimnya akan berterusan sehingga September 2026.
Keadaan cuaca aktif diramalkan bermula Rabu, 29 Julai 2026 hingga Isnin, 3 Ogos 2026. Hujan lebat berpetir dijangka sekali-sekala menjejaskan negara. Kelajuan angin boleh mencapai sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.
Di perairan NBD, keadaan laut secara amnya adalah berombak sedikit, dengan ketinggian ombak antara 0.5 hingga 1.0 meter.
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko tinggi kejadian banjir kilat, tanah susur, pokok tumbang dan atap terbang berlaku semasa hujan lebat berpetir serta keadaan berangin kencang.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih Brunei WX, atau dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.
Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang ‘www.met.gov.bn’ serta mengikuti saluran rasmi kami di Facebook ‘@bruneiweather’, Instagram ‘@brunei.weather’, Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather).