Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Oktober. - Negara Brunei Darussalam (NBD) telah dinaik taraf ke Tier 2 di dalam 2026 Trafficking in Persons Report yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, berbanding kedudukan sebelumnya di Tier 2 Watch List.
Penaiktarafan berkenaan menandakan peningkatan kedudukan negara bagi tahun kedua berturut-turut, sekali gus menjadikan NBD satu-satunya Negara Anggota ASEAN yang dinaik taraf di dalam laporan tahun ini.
Peningkatan kedudukan berkenaan merupakan pengiktirafan antarabangsa terhadap komitmen teguh dan berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang.
Antara usaha yang diiktiraf di dalam laporan berkenaan termasuklah kejayaan mensabitkan pesalah di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang, pemerkasa usaha siasatan dan saringan bagi mengesan kes-kes pemerdagangan orang, peningkatan dalam pengenalpastian dan perlindungan mangsa, serta penyelarasan yang lebih erat di antara agensi-agensi keselamatan.
Pelaksanaan berterusan Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Pemerdagangan Orang (2025-2029) turut diiktiraf sebagai elemen penting dalam usaha pencegahan negara. Pencapaian berkenaan adalah hasil kerjasama erat di antara agensi-agensi keselamatan, penguatkuasaan dan pendakwaan di bawah Jawatankuasa Kebangsaan bagi Anti Pemerdagangan Orang (JKAPO) di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Berpandukan kepada prinsip pemeliharaan nyawa (Hifz al-Nafs) di bawah Maqasid Syariah, NBD akan terus mengamalkan pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation bagi memastikan setiap individu di negara ini terpelihara daripada ancaman jenayah berkenaan.
Berlandaskan kemajuan berkenaan, JKAPO akan terus memperkukuh usaha-usaha pencegahan, perlindungan mangsa dan penguatkuasaan undang-undang, di samping mempererat kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa ke arah mencapai kedudukan Tier 1.