Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
JERUDONG, Rabu, 16 September. - Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menganjurkan Majlis Resepsi sempena Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-69 dan Hari Malaysia 2026 bertempat di Royal Berkshire Hall, Tarindak D'Polo, di sini.
Majlis berkenaan dihadiri lebih 250 tetamu yang terdiri daripada golongan kenamaan, ahli kor diplomatik, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, pegawai kanan kerajaan, ahli akademik, tokoh perniagaan terkemuka, serta wakil daripada komuniti Malaysia.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; dan isteri, yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan NBD dan Malaysia, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke NBD, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd. Aini Atan.
Tuan Yang Terutama Datuk Mohd. Aini Atan dalam ucapannya menekankan hubungan istimewa antara Malaysia dan NBD yang telah terjalin selama lebih empat dekad, hubungan yang bukan sahaja didorong oleh kedudukan geografi yang berdekatan, malah oleh persahabatan sejati, nilai-nilai bersama, serta hasrat untuk melihat rakyat kedua-dua buah negara menikmati kemakmuran bersama.
Tuan Yang Terutama juga menggariskan pencapaian cemerlang dalam pelbagai kerjasama antara kedua-dua buah negara, termasuk dalam bidang ekonomi, pertahanan, pelancongan, dan pendidikan.
Di peringkat serantau, TYT turut menegaskan kembali komitmen teguh Malaysia dalam menangani dinamika serantau dengan menggalakkan keyakinan bersama dan dialog melalui pendekatan diplomasi serta semangat muhibah.
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat majlis dan isteri sebelum upacara simbolik memotong kek.
Bagi menyerlahkan elemen budaya Malaysia, para tetamu dihiburkan dengan persembahan muzik secara langsung dan tarian kebudayaan Malaysia, sambil menikmati pelbagai hidangan istimewa Malaysia.
Sebuah lukisan batik khas berukuran satu meter turut dipamerkan pada Majlis Resepsi berkenaan, mencerminkan inisiatif diplomasi kebudayaan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan Persatuan Isteri-Isteri Pegawai Diplomatik Kementerian Luar Negeri Malaysia (Perwakilan), Bandar Seri Begawan.
Pameran berkenaan bertujuan mengetengahkan keunikan serta kehalusan seni batik Malaysia, sekali gus memperkenalkan warisan seni dan budaya Malaysia kepada para tetamu yang hadir.