Tingkatkan kesedaran, tindakan berkaitan keselamatan pesakit

17 Sep 2026 - 5:27am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

GADONG, Rabu, 16 September. - Keselamatan pesakit perlu sentiasa diberikan keutamaan dalam pengurusan penyakit-penyakit tidak berjangkit, termasuk penyakit jantung, strok, diabetes dan kanser, yang memerlukan penjagaan berterusan serta kerjasama antara pesakit, keluarga dan penyedia perkhidmatan kesihatan.

Perkara tersebut ditekankan oleh Pemangku Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Pengiran Dr. Hajah Siti Nasibah binti Pengiran Haji Ismail, selaku Pengerusi Majlis semasa menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2026 yang berlangsung di Atrium, The Mall, Gadong, pagi tadi.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa keselamatan pesakit perlu diberikan perhatian pada setiap peringkat penjagaan, bermula daripada diagnosis, rawatan dan penggunaan ubat-ubatan, sehinggalah kepada pengurusan gaya hidup serta pencegahan komplikasi.

Menurut beliau lagi, keselamatan pesakit merupakan tanggungjawab bersama semua pihak yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan. Jelasnya, kita perlu terus membudayakan persekitaran kerja yang terbuka dan selamat dalam melaporkan insiden keselamatan serta kejadian nyaris berlaku.

Beliau turut menekankan bahawa setiap insiden yang berlaku tidak seharusnya hanya dilihat sebagai kesilapan, sebaliknya dijadikan peluang untuk mempelajari sesuatu, memperbaiki proses kerja dan seterusnya memperkukuh sistem penjagaan kesihatan.

Melalui budaya pembelajaran dan penambahbaikan yang berterusan, perkhidmatan kesihatan yang diberikan dapat dipastikan lebih berkualiti, selamat dan berpusatkan pesakit, terangnya.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud, yang seterusnya merasmikan Pameran Keselamatan Pesakit bagi Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit dan melawat pameran-pameran yang diadakan.

Sambutan pada tahun ini mengetengahkan tema ‘Penjagaan Selamat bagi Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit’ (Safe Care for Noncommunicable Diseases), yang memberikan tumpuan kepada aspek keselamatan pesakit dalam pencegahan, pengesanan, diagnosis, rawatan dan pengurusan penyakit-penyakit tidak berjangkit.

Pameran interaktif bertemakan perjalanan pesakit menjadi antara pengisian utama sambutan, dengan membawa para pengunjung melalui enam peringkat penjagaan yang merangkumi hubungan pertama dan saringan; diagnosis dan pengurusan; pengurusan ubat-ubatan; penjagaan kendiri; kehidupan sihat bersama penyakit tidak berjangkit; serta kecemasan dan kejadian akut.

Melalui aktiviti interaktif, demonstrasi dan permainan pendidikan, para pengunjung diperkenalkan kepada langkah-langkah keselamatan penting pada setiap peringkat penjagaan.

Antara perkara yang diketengahkan termasuk kepentingan pengesanan awal, komunikasi yang jelas antara pesakit dan petugas kesihatan, penggunaan ubat-ubatan secara selamat, pemantauan kesihatan, penjagaan diri, kesinambungan penjagaan di rumah serta pengenalpastian awal tanda-tanda bahaya yang memerlukan rawatan segera.

Sambutan tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai risiko keselamatan dalam penjagaan penyakit-penyakit tidak berjangkit, di samping memperkenalkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mencegah kemudaratan yang boleh dielakkan.

Selain itu, sambutan berkenaan turut menekankan peranan pesakit, keluarga dan masyarakat sebagai rakan kongsi aktif dalam memastikan penjagaan kesihatan yang selamat dan berkualiti.

Hari Keselamatan Pesakit Sedunia disambut pada 17 September setiap tahun sebagai salah satu inisiatif global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam meningkatkan kesedaran dan tindakan berkaitan keselamatan pesakit.

Kementerian Kesihatan kekal komited untuk memperkukuh keselamatan pesakit pada setiap peringkat penjagaan penyakit-penyakit tidak berjangkit, selaras dengan Pelan Tindakan Keselamatan Pesakit Global 2021–2030.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr. Dayang Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.