Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, 16 September, Rabu. - Universiti Teknologi Brunei (UTB) mengiktiraf pencapaian cemerlang warga universiti berkenaan pada Majlis Anugerah Cemerlang UTB 2026 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), di sini, hari ini.
Majlis yang diadakan bersempena dengan Majlis Konvokesyen UTB Ke-14, Tahun 2026 berkenaan mengiktiraf sumbangan tenaga akademik dan bukan akademik, pelajar serta graduan dalam bidang pengajaran, penyelidikan, inovasi, kepimpinan, perkhidmatan profesional dan pembangunan pelajar.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Turut hadir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Chen Shaochun; Naib Canselor UTB, Profesor Madya Pengiran Dr. Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra; ahli-ahli Majlis UTB, pegawai-pegawai kanan universiti, tenaga akademik dan bukan akademik; serta para pelajar, graduan, penaja dan jemputan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Naib Canselor UTB.
Naib Canselor UTB dalam ucapannya berkata, pengiktirafan yang diterima bukanlah titik akhir kepada kecemerlangan, sebaliknya membawa tanggungjawab lebih besar kepada para penerima.
"Pengiktirafan itu membawa satu tanggungjawab yang lebih besar, iaitu untuk terus memperbaiki diri, berkongsi pengalaman, membantu rakan-rakan di sekeliling kita dan bersama-sama mengangkat institusi ini ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
Beliau turut berharap semangat berkenaan terus membentuk budaya kerja di UTB berteraskan satu UTB, satu pasukan dan satu visi bersama.
Naib Canselor UTB turut berkata, seramai 105 graduan dan pelajar UTB menerima pengiktirafan pada tahun ini dalam pelbagai kategori.
Beliau juga menyeru para graduan dan pelajar untuk menjadikan pengiktirafan berkenaan sebagai dorongan untuk terus melangkah lebih jauh serta membawa nama baik UTB walau di mana mereka meneruskan perjalanan selepas tamat pengajian.
"Setiap graduan kita merupakan duta universiti," katanya.
"Graduan UTB bukan sahaja perlu dikenali kerana pengetahuan dan kemahiran, malah perlu membawa nilai integriti, profesionalisme, sifat rendah hati serta kesediaan untuk menyumbang kepada masyarakat," ujarnya lagi.
Majlis Anugerah Cemerlang berkenaan merupakan platform tahunan UTB bagi mengiktiraf individu dan kumpulan yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing serta menyumbang kepada pembangunan universiti secara keseluruhan.
Pelbagai kategori anugerah disampaikan pada tahun ini termasuk Staff Excellence Award (SEA), Research Excellence Award, Administrative Excellence Award, Chancellor's Award, Graduate Excellence Award, Publication Award, Student Achievement Passport (SAP) Award, TechExpo 40 Project Showcase dan People's Choice Award.
Seramai 20 tenaga akademik dan kakitangan cemerlang diiktiraf menerusi Anugerah Kecemerlangan Kakitangan 2026 atas sumbangan mereka kepada universiti dalam bidang pengajaran, penyelidikan dan pentadbiran termasuk penerima Anugerah Special Mention.
Penerima anugerah utama menerima plak kenang-kenangan, sijil pengiktirafan dan hadiah wang tunai berjumlah BND1,000.
Manakala penerima Anugerah Special Mention menerima sijil sebagai penghargaan atas sumbangan mereka.
Bagi Anugerah Research Excellence Award - Early Career Academic, tiga tenaga akademik menerima pengiktirafan, iaitu Penolong Profesor, Sekolah Perniagaan UTB, Dr. Shaista Wasiuzzaman; Penolong Profesor, Fakulti Kejuruteraan, Pengiran Dr. Seri Rahayu binti Pengiran Ya'akub; dan Pensyarah, Sekolah Sains Gunaan dan Matematik, Dr. Dayang Mas Munira binti Haji Rambli.
Bagi Kategori Mid-Career Academic, penerima ialah Penolong Profesor Kanan, Sekolah Pengkomputeran dan Informatik, Dr. Dayang Hajah Wida Susanty binti Haji Suhaili; dan Penolong Profesor Kanan, Fakulti Kejuruteraan, Dr. Nor Asiah Muhamad.
Sementara Profesor Madya Dr. Awang Lim Tiong Hoo dari Fakulti Kejuruteraan pula menerima pengiktirafan bagi Kategori Senior Career Academic.
Sementara itu, Anugerah Kecemerlangan Pentadbiran bagi kategori Academic Staff disampaikan kepada mantan Timbalan Dekan (Akademik), Fakulti Kejuruteraan, Pengiran Dr. Seri Rahayu.
Bagi Kategori Management and Professional Category (Division I & II), penerimanya ialah Pegawai Kaunseling, Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP), Pengiran Raden Tutimuliawati binti Pengiran Haji Mahmud; dan Pegawai Kebajikan Pelajar, Pejabat HEP, Dayang Siti Nuratika Sri Mu'minnah binti Mohamad Hadi Muslim.
Manakala, Penolong Pegawai Perpustakaan Tingkat I, Perpustakaan UTB, Dayang Hajah Noraidah binti Haji Madin; Penolong Pegawai Kewangan Tingkat II, Pejabat Bendahari, Dayang Suzilawati binti Haji Hanafiah; dan Penolong Pegawai Projek, Sekolah Sains Gunaan dan Matematik, Dayang Norhaziqah Nabilah binti Haji Misli pula menerima anugerah bagi Kategori Administrative Support Staff (Division III).
Bagi Bahagian IV dan V pula, penerimanya ialah Pembantu Tadbir, Pejabat Pendaftar, Awang Muhammad Zaiddin bin Abdul Qayyum Sirul; dan Penolong Pustakawan Kanan Tingkat I, Perpustakaan UTB, Dayang Hajah Rohana binti Haji Abdul Hamid.
Manakala seramai enam kakitangan turut menerima Anugerah Special Mention.
Bagi Teaching Excellence, pengiktirafan Special Mention disampaikan kepada Penolong Profesor Kanan, Fakulti Kejuruteraan, Dr Bashir Suleman Abusahmin; Penolong Profesor, Fakulti Kejuruteraan, Dr. Wendy Ng Pei Qin; dan Pensyarah, Sekolah Sains Gunaan dan Matematik, Dr. Dayang Mas Munira.
Bagi Research Excellence – Early Career Academic, penerima Special Mention terdiri daripada Pensyarah, Fakulti Kejuruteraan, Dr. Tan Yie Hua; dan Penolong Profesor, Fakulti Kejuruteraan, Dr. Denni Kurniawan.
Sementara mantan Timbalan Dekan (HEP), Pengiran Norhafizah binti Pengiran Haji Muhammad pula menerima Special Mention bagi Administrative Excellence Award bagi kategori Academic Staff.
Anugerah Kecemerlangan Kakitangan diperkenalkan pada 2015 dan disampaikan setiap tahun sebagai penghargaan terhadap sumbangan cemerlang tenaga akademik dan bukan akademik UTB serta peranan mereka dalam menyokong matlamat strategik universiti.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian Student Excellence Awards yang mengiktiraf pelajar dan graduan dalam pelbagai kategori mengikut sekolah dan fakulti masing-masing.
Anugerah berkenaan mengiktiraf individu yang menunjukkan pencapaian akademik cemerlang, dedikasi, kepimpinan, inovasi dan komitmen sepanjang pengajian di UTB.
TechExpo 40 Awards turut mengetengahkan budaya inovasi UTB apabila 27 pelajar menerima pengiktirafan atas projek dan pencapaian cemerlang mereka.
Sementara itu, seramai 12 pelajar lain turut diiktiraf atas penyertaan dan pencapaian cemerlang dalam aktiviti kokurikulum yang merangkumi Outstanding Life Skill Achiever, Religious Award (Male), Religious Award (Female), Community Service Achiever, Culture Award, Sportsman and Sportswoman of UTB serta kategori Special Mention.
Kesemua anugerah berkenaan mencerminkan pendekatan holistik universiti dalam pembangunan pelajar dengan kecemerlangan akademik dilengkapi kepimpinan, sahsiah, penglibatan masyarakat, kreativiti dan pembangunan diri.
Dalam pada itu, Graduate Excellence Awards 2026 menerima tajaan daripada 36 organisasi dan institusi yang mewakili pelbagai sektor korporat, industri, kewangan, profesional, diplomatik dan masyarakat di NBD.
Antara penaja ialah Kedutaan Republik Rakyat China di NBD, Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Armada Properties Sdn. Bhd., Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST), Brunei Shell Petroleum Company Sdn. Bhd. (BSP), Hibiscus Petroleum, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Hengyi Industries Sdn. Bhd., Baiduri Bank, Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn. Bhd., Haji Adinin and Sons (Brunei) Sdn. Bhd., British Computer Society, Muara Port Company Sdn. Bhd., Makan Ceria Sdn. Bhd. / McDonald's Brunei, Aisha Trading Company Sdn. Bhd., Pertubuhan Ukur Jurutera dan Arkitek (PUJA), Hua Ho Agricultural Farm dan Ladang Tunas Harapan Sdn. Bhd., Han S.L. Sdn. Bhd., Comquest Sdn. Bhd., ASEAN-Korea Cooperation Fund (AKCF), Dynamik Technologies Sdn. Bhd., Belait Shipping Co. Sdn. Bhd., Ideal Group Holdings Sdn. Bhd., The Institution of Mechanical Engineers (IMechE Brunei Group); The Institution of Engineering and Technology (IET); Micronet International College, Tendrill International Sendirian Berhad, SPI BN Sdn. Bhd., Alif Technologies Sdn. Bhd., Shiham Sdn. Bhd., Exceltech Solutions Sdn. Bhd., Asterix United (Brunei) Sdn. Bhd., Jetwires Trading and Electrical Services; BR-Kelvin Pong Services; Masmariah Bridal Boutique and Tailoring; serta Liangskl Enterprise (Whatever Accessories).
Jumlah penajaan berkenaan mencerminkan keyakinan dan kerjasama berterusan pihak industri serta pihak berkepentingan dalam komuniti terhadap UTB dan para graduannya.
Sokongan berkenaan turut menyumbang kepada kejayaan majlis anugerah selain memberikan pengiktirafan dan galakan kepada pelajar berprestasi tinggi ketika melangkah ke peringkat seterusnya dalam perjalanan profesional dan kehidupan masing-masing.
UTB turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan rakan strategik atas sumbangan serta sokongan berterusan dalam usaha memupuk bakat, mengiktiraf pencapaian dan memperkukuh hubungan universiti dengan pihak industri serta masyarakat.
Majlis Anugerah Cemerlang UTB 2026 menjadi wadah untuk meraikan pelbagai dimensi kecemerlangan universiti merangkumi pencapaian akademik dan penyelidikan, perkhidmatan profesional, inovasi, kepimpinan, penglibatan kokurikulum dan sumbangan kepada masyarakat.
Selain itu, ia turut mengukuhkan komitmen UTB dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi, inovatif, bertanggungjawab dan bersedia menyumbang kepada NBD serta peringkat antarabangsa.