Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 21 September. - Operasi sepadu Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) ke atas premis-premis perniagaan di kawasan Bandar Seri Begawan pada Julai 2026 telah mendapati satu kesalahan di bawah Akta Sukatan dan Timbangan, Penggal 151.
Semasa operasi sepadu tersebut, penguatkuasa Unit SDT telah mendapati sebanyak tujuh unit alat sukat dan timbang yang digunakan bagi tujuan jual beli.
Dua unit alat timbangan kepunyaan Syarikat Fairosdin Sdn. Bhd. gagal mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan, Penggal 151 dan Peraturan-Peraturan (Penelitian) Alat-Alat Sukatan dan Timbangan 1994 Bab 3 (1) dan (2) iaitu menggunakan alat timbangan yang telah tamat tempoh pendaftaran penggunaan yang dibenarkan. Pihak syarikat juga telah dikeluarkan Notis Penyitaan dan kedua-dua alat tersebut telah disita.
Dalam pada itu, pihak syarikat dikehendaki hadir ke Pejabat Unit SDT dalam tempoh tujuh hari waktu bertugas dari tarikh notis dikeluarkan bagi memperbetulkan isu berkenaan. Pemilik alat yang telah hadir bagi membaharui Pencapan Tahunan dan Pendaftaran Baru, alat-alat berkenaan diserahkan kembali bagi tujuan aktiviti jual beli.
Sementara itu, JPES mendapati premis-premis perniagaan yang diperiksa menjual barangan yang dikawal harga seperti minyak masak dan susu tepung formula tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan, dan barangan yang dijual di dalam premis perniagaan dipamerkan tanda harga dengan jelas serta betul, selaras dengan keperluan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.
Operasi sepadu JPES dan Unit SDT yang dijalankan secara bulanan ini bertujuan bagi menggalakkan amalan perniagaan beretika dengan memastikan kepatuhan terhadap Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta Akta Sukatan dan Timbangan, Penggal 151. Amalan perniagaan beretika akan memperkukuh keyakinan pengguna dan menggalakkan persaingan yang sihat di kalangan peniaga.
Peniaga diingatkan untuk sentiasa patuh terhadap Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dengan memastikan barangan dikawal harga tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan mempamerkan tanda harga dengan jelas dan betul.
Di samping itu, peniaga juga perlu sentiasa patuh terhadap Akta Sukatan dan Timbangan, Penggal 151 dengan memastikan alat-alat sukat dan timbang yang digunakan bagi aktiviti jual beli adalah berdaftar dengan Unit SDT.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi agensi-agensi berkenaan iaitu Jabatan Hal Ehwal Pengguna, JPES melalui Talian Darussalam 123 atau e-mel ‘aduanpengguna@jpes.gov.bn’; dan Unit Sukatan dan Timbangan melalui nombor di talian +673 2334092 atau e-mel ‘sdt@mof.gov.bn’.