Pameran memperkukuh pertukaran, kerjasama kebudayaan

14 Okt 2026 - 7:36am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Oktober. - Pameran Setting Sail : Menyingkap Khazanah Guangxi di Sepanjang Laluan Sutera Maritim Purba (Setting Sail : Unearthing the Treasures of Guangxi Along the Ancient Maritime Silk Road) menyediakan wadah baharu bagi menggalakkan kerjasama praktikal antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Rakyat China dalam bidang kebudayaan, pelancongan dan bidang berkaitan yang lain.

Sehubungan itu, Majlis Perasmian Pameran berkenaan telah diadakan bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), petang tadi.

Pameran anjuran bersama Muzium Guangxi dengan kerjasama Muzium Kebudayaan Dinasti Han Hepu (Muzium Daerah Hepu) itu dihadiri oleh tetamu-tetamu khas iaitu Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr. Dayang Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah mewakili Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke NBD, Tuan Yang Terutama Chen Shaochun; Presiden Persatuan Promosi Jalur dan Laluan Brunei-China, Hong Jianyuan serta Timbalan Pengarah Muzium Guangxi, Yang Qingping.

Terdahulu, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Muzium Guangxi dan Tuan Yang Terutama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke NBD.

Semasa majlis berlangsung, Yang Qingping, bagi pihak Muzium Guangxi telah menyampaikan cenderamata istimewa dari Guangxi kepada pihak NBD iaitu sebuah Cawan Bai Fu yang diperbuat daripada tembikar Nixing Qinzhou.

Cenderamata tersebut diterima oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, bagi pihak NBD. Tembikar Nixing, yang merupakan salah satu daripada empat tradisi tembikar terkenal di China, mempunyai sejarah melebihi 1,300 tahun.

Majlis kemudian menyaksikan tetamu-tetamu khas menyempurnakan perasmian pameran melalui upacara pemotongan reben.

Upacara tersebut menandakan pembukaan rasmi pameran berkenaan dan disaksikan oleh semua tetamu yang hadir. Selepas majlis perasmian, para tetamu berkunjung ke ruang pameran untuk menyaksikan bahan-bahan pameran yang dipamerkan.Dibahagikan kepada empat bahagian iaitu 'Merentasi Lautan dan Samudera', 'Meraikan Kepelbagaian', 'Menghubungkan Sungai dan Lau' serta 'Kesinambungan dan Pewarisan', pameran ini menampilkan imej lebih daripada 100 artifak budaya terpilih yang mewakili warisan sejarah dan kebudayaan Guangxi.Paparan tersebut menggambarkan peranan penting Guangxi dalam sejarah Laluan Sutera Maritim purba, di samping mengetengahkan kepelbagaian, keterbukaan dan sifat inklusif tamadun China melalui pertukaran serta pembelajaran bersama antara pelbagai budaya.Pameran berkenaan memberikan peluang kepada para pengunjung untuk mendalami sejarah interaksi antara China dengan negara-negara di sepanjang Laluan Sutera Maritim yang telah berlangsung selama lebih seribu tahun.

Pameran itu turut menyampaikan semangat Laluan Sutera yang berteraskan keamanan dan kerjasama, keterbukaan dan keterangkuman, pembelajaran bersama serta manfaat bersama.

Satu ruang pameran khas turut menampilkan produk Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) yang mencerminkan keunikan Guangxi serta barangan kreatif berasaskan kebudayaan. Antaranya termasuk beg tenunan Zhuang, bebola sutera bersulam, gendang gangsa, teh Liubao dan balang teh pomelo.Sepanjang pameran berlangsung, para pengunjung juga berpeluang menyertai tiga aktiviti interaktif iaitu menghasilkan uncang beraroma melur, meneroka teknik tradisional menggosok corak pada permukaan untuk menghasilkan cetakan serta menikmati pengalaman mengenali teh melalui aroma dan sesi merasa teh.

Aktiviti-aktiviti ini membolehkan para pengunjung menghayati seni pertukangan tradisional Guangxi dengan lebih dekat serta melibatkan diri secara langsung dalam warisan kebudayaannya yang kaya. Pameran selama tiga hari bermula hari ini, merupakan salah satu inisiatif penting oleh Guangxi untuk memperkukuh pertukaran dan kerjasama kebudayaan dengan NBD, di samping berkongsi kisah Laluan Sutera Maritim purba dengan khalayak yang lebih luas.Dengan menjadikan Laluan Sutera Maritim sebagai jambatan dan imej artifak budaya sebagai medium penyampaian, pameran tersebut meraikan hubungan persahabatan erat yang telah lama terjalin antara NBD dengan Republik Rakyat China.