Oleh : Siti Rokiah Abdullah
Foto : Siti Rokiah Abdullah, Ihsan Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam
BENGKURONG, Rabu, 25 November. - Dayang Myra Rania binti Mohammad Ali, pelajar berusia 17 tahun dari Politeknik Brunei telah terpilih sebagai Pesuruhjaya Tinggi Kanada Sehari (High Commissioner for a Day) sekali gus berpeluang merasai pengalaman diplomasi, kepimpinan dan penglibatan antarabangsa secara langsung.
Pemilihan Dayang Myra Rania merupakan sebahagian daripada inisiatif Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam (NBD) sempena Hari Antarabangsa Kanak-kanak Perempuan, yang mengundang remaja perempuan berusia di bawah 18 tahun di negara ini untuk menyertai pertandingan menerusi video pendek yang menjelaskan sebab mengapa mereka layak dipilih bagi program berkenaan.
Inisiatif tersebut mendapat sambutan menggalakkan, dengan memperlihatkan kreativiti, cita-cita serta potensi kepimpinan dalam kalangan remaja perempuan. Daripada empat finalis yang disenarai pendek, Dayang Myra Rania dipilih atas keaslian idea, pemikiran yang bernas serta kemahiran beliau dalam berkomunikasi.
Sepanjang menjalani tugas sebagai Pesuruhjaya Tinggi Sehari, beliau telah menyertai beberapa siri penglibatan diplomatik, termasuk pertemuan Town Hall bersama kakitangan Suruhanjaya Tinggi Kanada serta pertemuan bilateral (dua hala) bersama Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof.
Selain itu, Dayang Myra Rania turut menyampaikan lebih 170 helai baju-T kanak-kanak kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam bagi pihak Suruhanjaya Tinggi Kanada, sebagai usaha memperkukuh penglibatan masyarakat serta hubungan erat antara rakyat Kanada dan Brunei yang telah lama terjalin.
Program berkenaan turut diserikan dengan Majlis Resepsi pada sebelah malam bersama para duta wanita dan Pesuruhjaya Tinggi ke NBD, yang membuka ruang dan platform kepada Dayang Myra Rania untuk bertukar pandangan mengenai diplomasi, kepimpinan dan aspirasi kerjaya.
Semasa menggalas tugas sebagai Pesuruhjaya Tinggi Sehari, beliau juga berpeluang bertemu Dr. Auji Haziqah binti Haji Mustapa penerima biasiswa Kanada-ASEAN SEED, yang berkongsi pengalaman pengajiannya di Brock University serta membincangkan peranan pendidikan antarabangsa dalam membuka peluang akademik, profesional dan kepimpinan.
Mengulas pengalamannya, Dayang Myra Rania berkata, peluang berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Sehari merupakan satu penghormatan yang membolehkannya mempelajari lebih lanjut mengenai diplomasi, kepimpinan serta penglibatan masyarakat.
Beliau turut menyatakan bahawa pertemuan bersama para pemimpin yang menginspirasikan serta pengalaman menyaksikan sendiri tugas Suruhanjaya Tinggi telah mendorongnya untuk mengejar cita-cita dengan lebih yakin dan terus mencari peluang untuk memberikan sumbangan positif kepada masyarakat.
Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke NBD, Tuan Yang Terutama Dr. Tamer Mansy berkata, Hari Antarabangsa Kanak-kanak Perempuan merupakan peluang untuk mengiktiraf bakat, cita-cita dan potensi kepimpinan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia.
Beliau berkata pihak Suruhanjaya Tinggi amat terinspirasi dengan penyertaan yang diterima serta remaja perempuan hebat yang mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan.
Melalui program Pesuruhjaya Tinggi Sehari, pihaknya berharap dapat menggalakkan remaja perempuan untuk terus mengejar cita-cita, mempercayai kemampuan diri serta melihat diri mereka sebagai pemimpin masa depan dalam masyarakat dan di peringkat lebih luas.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kanada dalam memajukan kesaksamaan gender serta memperkasa golongan remaja perempuan agar dapat mencapai potensi sepenuhnya.
Program berkenaan bukan sahaja meraikan pencapaian Dayang Myra Rania, malah turut mengiktiraf potensi, aspirasi dan harapan generasi muda perempuan di NBD untuk terus memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif dan berdaya maju.