Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BERAKAS, Khamis, 29 Oktober. - Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam atau BDMD (Brunei Darussalam Meteorological Department) akan terus memperkukuh pemantauan prestasi organisasi dan memastikan tindakan penambahbaikan hasil penilaian 3PSA dilaksanakan secara konsisten dan berkesan.
Keutamaan turut diberikan kepada pembangunan kompetensi warga kerja, serta peningkatan kecekapan dan kualiti penyampaian perkhidmatan.
Pemangku Pengarah Kajicuaca, BDMD, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Dayang Rokiah binti Haji Angas menekankan demikian semasa ditemu bual bagi pengiktirafan 3PSA melalui Penarafan Bintang yang dianugerahkan kepada BDMD pada Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam 2026 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.
Beliau menyatakan, pencapaian 3PSA berkenaan merupakan hasil komitmen kepimpinan, kerjasama erat seluruh warga BDMD serta usaha penambahbaikan yang dilaksanakan secara berterusan selain, hala tuju jabatan yang jelas, disokong dengan pemantauan prestasi yang sistematik, turut membantu setiap seksyen dan unit BDMD dalam memperkukuh kecekapan dan mutu penyampaian perkhidmatan.
Antara usaha utama sepanjang proses penilaian 3PSA katanya, adalah menambah baik proses kerja, memperkukuh pengurusan rekod dan dokumentasi serta meningkatkan keberkesanan pemantauan prestasi jabatan. Penekanan turut diberikan kepada usaha mengenal pasti ruang penambahbaikan dan melaksanakan tindakan susulan bagi memastikan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan sentiasa ditambah baik.
Bahkan, cabaran utama dalam memastikan usaha penambahbaikan tegasnya, dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten di setiap seksyen dan unit, di samping mengekalkan mutu penyampaian perkhidmatan. Cabaran ini ditangani melalui penetapan keutamaan kerja, penyelarasan yang lebih sistematik serta pengukuhan kerjasama antara seksyen dan unit.
Dari itu, amalan terbaik ujar beliau, dikongsi dengan penerapan budaya penambahbaikan berterusan, pengukuhan tadbir urus serta penglibatan aktif seluruh warga jabatan dalam meningkatkan prestasi dan mutu perkhidmatan.
Selain itu, pemantauan prestasi secara berkala dan penggunaan maklum balas pelanggan sebagai asas penambahbaikan tambahnya, turut memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan dan kualiti penyampaian perkhidmatan.
“BDMD menggunakan data prestasi, hasil kaji selidik kepuasan pelanggan serta aduan dan maklum balas orang ramai sebagai asas untuk menilai keberkesanan perkhidmatan yang disampaikan. Maklumat ini dianalisis bagi mengenal pasti aspek yang memerlukan perhatian dan seterusnya merancang tindakan penambahbaikan yang bersesuaian. Pendekatan ini membantu memastikan setiap penambahbaikan dibuat berdasarkan keperluan sebenar pelanggan dan menyumbang kepada peningkatan kualiti perkhidmatan secara berterusan”.
Dayang Rokiah seterusnya menyeru bahawa penambahbaikan berterusan perlu dijadikan sebahagian daripada budaya kerja setiap organisasi, dengan sokongan kepimpinan dan penglibatan seluruh warga kerja. Setiap usaha penambahbaikan hendaklah berasaskan objektif yang jelas, dirancang secara sistematik dan dipantau secara konsisten. Yang paling penting, setiap penambahbaikan hendaklah memberi impak yang bermakna terhadap mutu penyampaian perkhidmatan dan manfaat kepada masyarakat.
Sementara itu, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Jabatan Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Hassan Baha bin Haji Umar berkata faktor utama Jabatan Daerah Temburong adalah kepimpinan, komunikasi dan kerjasama berpasukan (‘teamwork’) yang mana penglibatan aktif serta komitmen padu telah diberikan daripada seluruh warga jabatan itu daripada setiap bahagian dan unit.
Justeru itu, sepanjang proses penilaian 3PSA, usaha yang paling penting katanya lagi, adalah dengan melakukan pembaikan dengan segera dan membuat pemantauan berterusan bagi memenuhi kehendak setiap skop 3PSA.
“Cabaran terbesar jabatan adalah menguruskan serta mengumpulkan dokumen sebagai bukti (‘evidences’) yang banyak yang mana pembahagian tugas telah dilaksanakan mengikut skop 3PSA tugas tidak hanya bertumpu kepada individu tertentu sahaja,” ujarnya semasa ditemu bual di majlis yang sama bagi agensi yang diiktiraf mencapai tiga bintang pada tahap ‘Baik’ iatu Jabatan Daerah Temburong.
Menurut beliau, amalan terbaik jabatannya adalah dengan pembahagian tugas yang teratur bagi memudahkan dan mengurangkan beban setiap individu. Pemantauan dan perbincangan yang berterusan juga sangat penting dengan mengadakan mesyuarat secara ‘ad hoc’ sekiranya kesukaran dalam membuat keputusan.
Bukan itu sahaja, pihak jabatan ujarnya, tidak membiarkan setiap aduan tanpa mengambil tindakan yang bersesuaian. Jabatan akan mengenal pasti punca masalah dan menyiasat terlebih dahulu dan membincangkan di dalam mesyuarat jika diperlukan serta memastikan adanya maklum balas kembali kepada pelanggan.
Oleh itu, Pemangku Pegawai Daerah Temburong menjelaskan pihak jabatannya akan terus berusaha menjadikan penambahbaikan sebagai rutin harian dan bukan secara berkala. Pihak jabatan juga sedang berusaha menyahut penggunaan pendigitalan tanpa banyak kebergantungan kepada proses manual.
Beliau turut menyarankan untuk mengubah persepsi. Jangan menjadikan 3PSA sebagai beban semata-mata untuk mengejar bintang atau mencari kesalahan serta kelemahan, akan tetapi untuk memantapkan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan awam di setiap jabatan / kementerian masing-masing.