Penolong Mufti hadiri 10th International Annual Conference on Fatwa MUI Studies

26 Jul 2026 - 7:37am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Mufti Kerajaan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 25 Julai. - Penolong Mufti (Buhuth), Dato Seri Setia Dr. Haji Mazanan bin Haji Yusof, hari ini bertolak ke Jakarta, Indonesia sebagai wakil kepada Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned bagi menghadiri dan membentang kertas kerja di 10th International Annual Conference on Fatwa MUI Studies dengan tema ‘Peran Fatwa Dalam Mewujudkan Perdamaian Global dan Keharmonisan Ummat’ anjuran Majelis Ulama Indonesia (MUI).

Persidangan berkenaan akan berlangsung pada 26 hingga 28 Julai 2026 di Jakarta, Indonesia.

Turut mengiringi beliau ke persidangan tersebut ialah Pegawai Buhuth di Jabatan Mufti Kerajaan, Pengiran Muhammad Wafiuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain.

Persidangan tersebut berperanan sebagai wadah muhasabah dan penilaian terhadap fatwa-fatwa MUI, di samping menjadi platform bagi pertukaran pandangan serta perkongsian idea dalam kalangan ulama, cendekiawan, ahli akademik dan penyelidik mengenai pelbagai isu yang berkaitan dengan peranan fatwa MUI dalam merealisasikan keamanan global serta memperkukuh keharmonian umat.